Dapat pujian PM Bangladesh, Afieq Shazwan dedah ini kali pertama nyanyi lagu Bengali

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan meluahkan rasa syukur selepas menerima pujian daripada Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman susulan persembahannya yang menggunakan sebutan bahasa Bengali dengan tepat.

Menerusi perkongsian di media sosial, Afieq berkata dia sama sekali tidak menyangka persembahan tersebut mendapat perhatian sehingga dipuji sendiri oleh pemimpin negara itu.

Katanya, lebih membanggakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengiringi pemimpin berkenaan ketika persembahan berlangsung.

“Tak sangka lepas perform saya dipanggil dan diberi pujian oleh Perdana Menteri Bangladesh sendiri kerana sebutan bahasa Bengali yang tepat, turut diiringi oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah, satu cabaran baru dan usaha yang berbaloi,” tulisnya.

Perkongsian itu turut disertakan dengan rakaman video persembahannya di sebuah majlis rasmi yang memperlihatkan dia menghiburkan tetamu kehormat.

Di ruangan komen, seorang pengguna dikenali sebagai Rakib turut memuji persembahan Afieq dengan menyatakan bahawa penyanyi itu menyanyi dengan sangat baik walaupun berasal dari Malaysia.

Pengguna itu turut bertanya sama ada lagu tersebut merupakan kali pertama Afieq menyanyikan lagu dalam bahasa Bengali atau dia pernah melakukannya sebelum ini.

Menjawab pertanyaan berkenaan, Afieq mengakui persembahan itu sememangnya kali pertama dia menyanyikan lagu dalam bahasa Bengali.

“Ini memang kali pertama saya,” balasnya.

Baca juga: Banyak pokok muda baru belajar berbuah? Pemuda ini kongsi kenapa Musang King sekarang rasa buah ‘reject’