Ikhlas dekati rakyat, buktikan adab atasi politik kebencian – PM Anwar pesan calon PH

Oleh MALAYSIADATELINE

Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semakin terasa apabila proses penamaan calon selesai sepenuhnya dengan seramai 172 calon disahkan layak bertanding di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tidak lama lagi, ‘perang’ pilihan raya akan bermula dengan tempoh berkempen selama 14 hari sehingga 11.59 malam, 10 Julai depan, sebelum hari pengundian berlangsung seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tampil menyampaikan pesanan khusus kepada calon yang bakal bertanding bagi mewakili parti pimpinannya.

Anwar yang juga Presiden PKR itu memberikan peringatan bahawa wakil rakyat mempunyai tanggungjawab dalam menggalas amanah penyokong bukannya mendekati mereka untuk meraih undi semata-mata.

“Selamat berkempen kepada seluruh calon PH Johor. Dekatilah rakyat dengan hati yang ikhlas. Bukan sekadar untuk meraih undi, tetapi untuk menggalas amanah mereka. Kerja kuat, santuni semua.

“Buktikan bahawa politik yang beradab akan sentiasa mengatasi politik kebencian. Insya-Allah, apabila kita ikhlas membela nasib rakyat Johor, mereka akan membuat pilihan yang tepat demi masa depan negeri tercinta,” katanya.

Pesanan tersebut disampaikan oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya sebelum para calon memulakan kempen mereka.

Menerusi perkongsian sama, beliau turut berkongsi petikan ayat al-Quran dalam Surah Ali ‘Imran mengenai konsep ikhtiar dan musyawarah yang diikuti dengan penyerahan segala urusan secara mutlak kepada Allah SWT.

“Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali ’Imran: 159). Johor Ke Depan. Undi Harapan.” Ujarnya.

Sekadar info, PRN Johor kali ini menyaksikan PH dan Barisan Nasional masing-masing mempertaruhkan 56 orang calon, Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15) serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat).

Manakala Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula masing-masing menampilkan seorang wakil serta tidak ketinggalan calon Bebas seramai enam orang turut bertanding pada Julai ini.

Baca juga: Dapat pujian PM Bangladesh, Afieq Shazwan dedah ini kali pertama nyanyi lagu Bengali