Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai antara negara yang menawarkan harga petrol dan diesel paling rendah di rantau ini menerusi pelaksanaan subsidi bahan api, termasuk inisiatif BUDI95 dan BUDI Diesel.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan Jabatan Penerangan Malaysia, harga pam petrol di Malaysia kini ialah RM3.37 seliter, manakala diesel RM3.97 seliter bagi tempoh 1 hingga 8 Julai 2026.
Bagaimanapun, pemilik kenderaan yang layak di bawah program subsidi kerajaan boleh menikmati harga lebih rendah, iaitu RON95 pada RM1.99 seliter menerusi BUDI95 dan diesel pada RM2.10 seliter menerusi BUDI Diesel.
Perbandingan harga dengan beberapa negara lain menunjukkan Malaysia masih menawarkan harga bahan api yang jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara di Asia Tenggara.
Sebagai contoh, harga petrol di Singapura mencecah RM9.83 seliter dan diesel RM12.14 seliter, diikuti Laos dengan harga petrol RM7.27 seliter dan diesel RM8.88 seliter.
Thailand pula merekodkan harga petrol RM6.19 seliter dan diesel RM4.61 seliter, manakala Kemboja masing-masing RM5.67 seliter dan RM4.38 seliter.
Di Filipina, harga petrol ialah RM5.33 seliter dan diesel RM5.52 seliter, sementara Myanmar mencatatkan RM5.19 seliter bagi petrol dan RM5.31 seliter bagi diesel.
Indonesia menjual petrol pada RM3.93 seliter dan diesel RM5.66 seliter, manakala Vietnam masing-masing RM3.37 seliter dan RM3.74 seliter.
Arab Saudi kekal menawarkan diesel paling murah dalam senarai tersebut pada RM1.97 seliter, dengan harga petrol RM2.57 seliter, manakala Brunei merekodkan harga petrol RM1.67 seliter dan diesel RM0.98 seliter.
Kerajaan sebelum ini menjelaskan pemberian subsidi bersasar menerusi BUDI95 dan BUDI Diesel bertujuan memastikan golongan yang layak terus menikmati harga bahan api yang lebih rendah.
Ini sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup tanpa menjejaskan bekalan negara.
Baca juga: PM Anwar rupanya dibimbing mentor bertaraf dunia, asah kepimpinan dan pemikiran Islam