Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mentadbir negara terbukti apabila berjaya menjaga kestabilan ekonomi dan politik walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu turut kekal sebagai pemimpin politik paling disenangi di Malaysia selepas mendapat kadar sokongan tertinggi dalam kalangan pengundi menerusi kaji selidik dilakukan Merdeka Center baru-baru ini.
Pencapaian ini bukan sesuatu yang mudah untuk diraih malah bakat kepimpinan juga perlu diasah sejak dari awal melalui latihan dan bimbingan dalam membentuk pemimpin berwibawa untuk mentadbir negara menuju kemajuan.
Tahukah anda, Anwar sebenarnya dibimbing oleh tiga tokoh ilmuwan gergasi dunia termasuk Almarhum Syeikh Dr. Taha Jabir al-Alwani, Almarhum Profesor Dr. Ismail Raji’ al-Faruqi, dan Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menerusi hantaran di platform Facebook berdasarkan perkongsian dibuat Anwar sendiri dalam satu program rasmi beberapa hari lalu.
“Sewaktu di Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berkongsi satu rahsia mahal tentang bagaimana beliau dididik oleh tiga tokoh ilmuwan gergasi dunia.
“Ketiga-tiga ilmuwan hebat ini akan memastikan PMX membaca dan menelaah karya-karya penting sebelum bertemu dan berbincang. Profesor Ismail akan beri masa dua minggu sahaja untuk PMX khatam buku ‘Muslim Society’ (Earnest Gellner).
“Setelah sampai masanya, Profesor Ismail al-Faruqi akan bertanya pelbagai soalan yang hanya akan dapat dijawab sekiranya membaca buku tersebut. Antara soalan awal yang ditanya apakah perbezaan teori dan pemikiran Ibnu Khaldun dan saranan khususnya terhadap rantau Afrika Utara? Bukan biasa-biasa,” kongsinya.
Ahli Parlimen Tambun itu juga menerima bimbingan daripada Tokoh Undang-undang Negara, Profesor Ahmad Ibrahim yang sering kali menasihatinya untuk membaca membaca karya beliau iaitu ‘Islamic Law in Malaya’.
Usaha itu membuahkan hasil apabila lahirnya sejarah besar negara melalui pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 yang berjaya berjaya diluluskan di Parlimen dan menjadi sejarah penting negara.
“Syeikh Taha Jabir pula meminta PMX menelaah karya beliau, ‘La Ikrahafiddin’ sebelum mereka berbincang secara mendalam. PMX juga pernah berjiran dengan Syeikh Taha semasa mengajar di Georgetown University, Washington dan memang selalu berkunjung ke rumah ilmuwan itu bersama keluarganya.
“Jika tokoh-tokoh luar negara ini membentuk pemikiran global beliau, Profesor Diraja Ungku Aziz, Profesor Diraja Syed Naquib al-Attas, dan Profesor Syed Hussein al-Attas pula adalah watak-watak tempatan yang mengasah bakat kepimpinan, pemikiran Islam dan kecintaan PMX terhadap budaya ilmu sejak zaman mudanya.
“Bertuah sungguh PMX dapat bimbingan langsung daripada para murabbi hebat ini. Buat anak muda, kalau nak jadi pemimpin hebat masa depan, kuncinya adalah baca, hadam, dan hargai guru kita. Tiada jalan pintas dalam menuntut ilmu!.” Ujar Dr Zulkifli dalam hantaran di akaun miliknya itu.
Sehubungan dengan itu, Dr Zulkifli berharap perkongsian tersebut dapat dijadikan sebagai inspirasi supaya orang ramai terutamanya anak muda terus beristiqamah dalam menjejaki langkah para agamawan dan cendekiawan.
Baca juga: Kerajaan Madani pegang prinsip adil, salur peruntukan negeri ikut keperluan rakyat