Seorang pempengaruh media sosial mencetuskan kontroversi apabila dipercayai menyiarkan secara langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia Kelab anjuran FIFA tanpa kebenaran sehingga meraih lebih 500,000 tontonan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial, dia turut memuat naik kolaj paparan siaran langsung tersebut bersama kapsyen ringkas, “Thank all world”, dipercayai sebagai tanda penghargaan kepada penonton yang mengikuti siaran berkenaan.
Tindakan itu bagaimanapun mengundang kritikan ramai kerana dipercayai melanggar hak penyiaran eksklusif yang dimiliki oleh penyiar rasmi di Malaysia.
Pada masa sama, pempengaruh dan pengacara Zhiddin Aziz turut menyuarakan kebimbangan terhadap insiden tersebut menerusi satu hantaran di platform Threads.
“Hari itu saya bersuara pasal Piala Dunia. Tak sampai 24 jam, mereka terus cakna dan ambil tindakan dengan cara sekat siapa yang masuk guna VPN.
“Betapa cergasnya RTM menjaga integriti siaran. Yang kesian tu, tiba ada pula yang bocorkan siaran itu dengan cara buat live, penonton dari seluruh dunia.
“Jangan terkejut kalau musim seterusnya, FIFA dah tak jual siaran kepada Malaysia. Malah tak mustahil disebabkan isu ini, RTM boleh kena saman.
“RTM dah pelihara integriti, rakyat janganlah khianati,” tulisnya.
Hantaran itu menerima ribuan reaksi dengan rata-rata pengguna media sosial menggesa agar tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang menyiarkan kandungan berhak cipta tanpa kebenaran.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pempengaruh berhubung dakwaan tersebut mahupun sebarang pengesahan daripada pihak RTM atau pemegang hak penyiaran mengenai tindakan lanjut yang akan diambil.
Siaran perlawanan sukan utama seperti Piala Dunia lazimnya dilindungi hak cipta dan hak penyiaran eksklusif.
Penyiaran semula tanpa kebenaran boleh menyebabkan tindakan undang-undang bergantung kepada undang-undang hak cipta serta terma pemegang hak penyiaran.
Baca juga: PM pengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara, teliti hala tuju sistem agar kekal relevan