Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan telah dilaksanakan di kaunter Jabatan Imigresen (JIM) seluruh negara bermula hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa penambahbaikan berbanding dengan hanya 49 ciri keselamatan sebelum ini bukanlah dibuat untuk kelihatan lebih moden semata-mata.
Struktur baharu itu sebaliknya berperanan dalam memastikan pasport negara terus berada pada standard keselamatan yang tinggi, lebih sukar dipalsukan, serta kekal diyakini dan dihormati oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.
“Matlamat kita jelas. Kita mahu setiap rakyat Malaysia memiliki dokumen perjalanan yang bukan sahaja lebih berkualiti dan tahan lama, malah menawarkan tahap keselamatan terbaik mengikut perkembangan teknologi semasa.
“Pada masa yang sama, saya ingin tegaskan bahawa tiada keperluan untuk tergesa-gesa menukar pasport sekiranya pasport sedia ada masih sah. Gunakan sehingga tamat tempoh.
“Apabila tiba masanya nanti, anda akan menerima pasport baharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan,” katanya menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook miliknya itu.
Berikut kami kongsikan beberapa ciri keselamatan baharu yang disertakan dalam pasport baharu Malaysia tersebut seperti didedahkan Saifuddin dalam hantaran tersebut;
- Halaman Data Polikarbonat Penuh – Memberikan daya tahan yang lebih tinggi.
- Cip Biometrik Bersepadu – Pengesahan serentak cap jari dan profil wajah.
- Teks Mikro – Memaparkan aksara bersaiz halus bagi mencegah replikasi digital.
- Transparent Window – Menghalang pemalsuan dan pengubahsuaian.
- Nombor Siri Tebukan Laser – Menjamin ketulenan nombor siri unik pada halaman visa.
- Corak Guilloche – Menghalang pemalsuan melalui perinciaan garisan kompleks.
- Hologram Dinamik Sensitif Sudut – Memaparkan imej holografi apabila dicondongkan.
- Corak Tersembunyi Beresolusi Tinggi
- Ciri Keselamatan UV Kompleks
Sekadar info, pembaharuan dokumen tersebut boleh mula dilakukan hari ini membabitkan tempoh sah laku 10 tahun dengan kadar bayaran RM350, manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal RM200.
Pembaharuan dengan mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini ini dibuat mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) sekali gus menjadikan pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang selamat dan dipercayai.
Baca juga: RTM bertungkus-lumus sekat VPN, pempengaruh didakwa siar live haram cecah 500,000 tontonan