Gagasan Anwar bakal dibukukan, PM harap jadi rujukan generasi akan datang

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau berpeluang memberikan pandangan bagi manuskrip sebuah buku bertajuk “Gagasan Anwar Ibrahim Dalam Peradaban Budaya Bangsa” yang menghimpunkan idea, pemikiran dan pengalaman hidupnya.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau berbesar hati kerana penyediaan dan pengolahan kandungan buku itu melibatkan Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, Tokoh Akademik Negara dan Tokoh Bahasa Negara yang disifatkannya sebagai pakar rujuk yang tidak asing lagi.

Menurutnya, buku berkenaan ditulis oleh Profesor Dr. Salinah Ja’afar, pensyarah dan pakar linguistik dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Anwar berkata, beliau turut ditemu bual secara eksklusif oleh kedua-dua tokoh berkenaan bagi melengkapkan kandungan buku yang merangkumi pelbagai aspek berkaitan pemikiran, pengalaman hidup dan pembacaannya.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas usaha daripada penulis yang ingin merakam serta menggarap idea, pandangan dan sudut fikir saya dalam pengalaman hidup dan pembacaan yang akan diulas secara terperinci di dalam buku ini,” katanya.

Beliau berharap naskhah tersebut dapat dijadikan sumber rujukan kepada generasi akan datang, khususnya dalam aspek pembangunan bangsa serta pembentukan nilai diri.

Menurut Anwar, penerbitan buku itu diharap mampu memberi manfaat kepada masyarakat dengan menghimpunkan gagasan dan pemikiran yang boleh dijadikan panduan pada masa hadapan.

Baca juga: Kerajaan Madani pegang prinsip adil, salur peruntukan negeri ikut keperluan rakyat