Ikut aplikasi navigasi, lima warga China cedera selepas kereta terjunam ke gaung

Oleh MALAYSIADATELINE

Lima warga China cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di kawasan tapak pembinaan culvert di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, lewat malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, sebuah Toyota Prius yang dipandu lelaki warga China berusia 66 tahun bersama empat lagi penumpang dipercayai memasuki kawasan projek pembinaan yang masih belum dibuka kepada orang awam selepas berpandukan aplikasi navigasi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam, Khamis lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh sebelum dipercayai tersalah memasuki laluan di kawasan projek pembinaan.

“Kenderaan itu dipandu dengan berpandukan aplikasi peta navigasi sebelum dipercayai memasuki kawasan tapak projek pembinaan culvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam.

“Akibatnya, kereta tersebut terjatuh ke dalam gaung di kawasan projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Azuhar menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memberi perhatian kepada papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang yang dipasang di kawasan kerja pembinaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi, khususnya ketika memandu pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat awal sehingga tindakan pantas dapat diambil untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 09-9751222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.ai polis berhampiran.

Baca juga: Datang negara orang bawa perangai pengotor, macam mana lah rakyat Malaysia tak marah