‘Tak akan terjejas!’ – Menteri Kesihatan tampil jawab isu pelarasan RM500 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa pelarasan peruntukan fiskal sebanyak RM500 juta tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam di seluruh negara, termasuk di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelarasan itu bukan pemotongan drastik seperti yang didakwa.

Sebaliknya hanya melibatkan 1.07 peratus daripada keseluruhan bajet KKM berjumlah RM46.52 bilion bagi tahun 2026.

Menurut beliau, jumlah tersebut juga jauh lebih rendah berbanding cadangan asal Kementerian Kewangan yang melibatkan sekatan sehingga RM3.06 bilion.

“Cadangan ini tidak melibatkan sebarang sekatan ke atas Peruntukan Pengoperasian perkhidmatan penting di semua fasiliti kesihatan KKM.

“Saya memberikan jaminan bahawa perkhidmatan dan penyampaian kesihatan KKM di seluruh negara termasuk di Sabah tidak akan terjejas,” katanya ketika menjawab isu itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dzulkefly berkata, hasil rundingan strategik bersama Kementerian Kewangan berjaya mengurangkan cadangan sekatan kepada RM500 juta sahaja bagi memastikan kualiti rawatan kepada rakyat terus dipelihara.

Beliau menjelaskan, pelarasan tersebut tidak membabitkan peruntukan bagi bekalan ubat-ubatan, barang guna habis (consumables), utiliti serta operasi harian semua fasiliti kesihatan di bawah KKM.

Malah, kebajikan kakitangan turut kekal terpelihara kerana pelarasan itu tidak menyentuh elaun tugas, program latihan mahupun pembelian aset perubatan kritikal.

Dalam masa sama, beliau menegaskan semua peruntukan pembangunan dikekalkan sepenuhnya dan projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negara, termasuk di Sabah, akan diteruskan mengikut perancangan asal.

KKM menegaskan sektor kesihatan awam kekal menjadi antara keutamaan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menerima akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tanpa gangguan.

Baca juga: PM Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei