Ramai persoal status Azam Baki, NFCC akhirnya buka mulut

Oleh MALAYSIADATELINE

Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) akhirnya tampil memberi penjelasan susulan timbul persoalan mengenai status Tan Sri Azam Baki dalam Lembaga Penasihat agensi itu selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan pada Jumaat, NFCC menjelaskan Azam merupakan anggota sah Lembaga Penasihat NFCC bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027, dan pelantikan itu dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan itu, keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat dengan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.

NFCC turut menjelaskan bahawa kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Penasihat NFCC yang sah.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas berhubung isu yang dibangkitkan mengenai keanggotaan Azam dalam Lembaga Penasihat NFCC.

NFCC menegaskan status keanggotaan beliau kekal berkuat kuasa sehingga 19 September 2027, kecuali jika ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.

Baca juga: Penganalisis bimbang Melayu akan semakin ketinggalan kalau asyik nak keluar KWSP