PM Anwar utus surat kepada Xi Jinping, perdalam kerjasama strategik Malaysia-China

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia akan terus komited memperdalamkan kerjasama strategik dengan China berlandaskan rasa hormat, kepercayaan dan manfaat yang dikongsi bersama demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook berhubung surat yang diutus oleh beliau kepada Presiden China, Xi Jinping.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa surat tersebut diutus untuk menyampaikan ucapan tahniah daripada Kerajaan dan rakyat Malaysia bersempena dengan ulang tahun ke-105 parti pemerintah China.

Beliau turut mengimbau detik bersejarah pada 31 Mei 1974 apabila Malaysia menjadi negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf dan menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Republik Rakyat China.

“Saya menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan panjang parti pemerintah China yang telah membentuk kemajuan negara itu berteraskan kekuatan tamadun, sejarah dan nilai-nilai yang diwarisi sejak sekian lama.

“Saya juga mengimbau keputusan bersejarah Malaysia pada 31 Mei 1974 sebagai negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf Republik Rakyat China.

“Keputusan yang dibuat dengan penuh kebijaksanaan dan pandangan jauh itu terus menjadi asas kukuh kepada hubungan erat yang telah diperkukuh selama lebih lima dekad.” Ujar beliau dalam perkongsian tersebut.

Sekadar info, hubungan diplomatik rasmi tersebut terjalin selepas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak menandatangani perjanjian bersejarah di Beijing bersama Perdana Menteri pertama Republik Rakyat China (RRC), Zhou Enlai.

Langkah bersejarah untuk memupuk hubungan mesra dan kerjasama dua hala itu sekali gus menjadikan Malaysia negara anggota bukan komunis pertama di rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Beijing.

Hubungan diplomatik itu kini berkembang dengan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik antara kedua-dua buah negara termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan dan pertukaran budaya.

Baca juga: Penganalisis bimbang Melayu akan semakin ketinggalan kalau asyik nak keluar KWSP