Ramai pertikai skim LINDUNG 24 Jam, PERKESO dedah RM1.2 juta faedah sudah disalurkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Walaupun ada pihak yang mempertikai dan meragui keberkesanan Skim LINDUNG 24 Jam, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan lebih RM1.2 juta faedah telah disalurkan kepada pencarum dalam tempoh 30 hari pertama pelaksanaannya.

Menurut PERKESO, pencapaian itu membuktikan komitmen agensi berkenaan dalam menyediakan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, khususnya kepada pencarum yang ditimpa musibah di luar waktu bekerja.

PERKESO dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan sebanyak 592 permohonan kes diterima sepanjang tempoh 1 hingga 30 Jun lalu, dengan pembayaran faedah disalurkan kepada Orang Berinsurans (OB) yang layak.

Menurut kenyataan itu, skim berkenaan menyediakan perlindungan lebih menyeluruh kepada pekerja dengan meliputi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.

Berbeza dengan perlindungan sebelum ini yang hanya tertumpu kepada insiden berkaitan pekerjaan atau perjalanan pergi dan balik kerja.

“Secara purata, hampir 20 kes sehari direkodkan di bawah LINDUNG 24 Jam, sekali gus menjadi manifestasi usaha PERKESO bagi menutup kelompangan perlindungan sosial yang ada di Malaysia.

“Jika dulu, insiden di luar waktu kerja tidak dilindungi tetapi dengan LINDUNG 24 Jam, situasi kini berubah,” menurut kenyataan itu.

PERKESO memaklumkan, antara faedah yang disediakan menerusi skim tersebut ialah Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), bayaran rawatan perubatan dan pembedahan, kos implan serta Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berdasarkan taksiran Jemaah Doktor.

Selain itu, skim berkenaan turut menyediakan Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS) serta rawatan pemulihan di pusat rehabilitasi PERKESO.

Dalam tempoh sebulan itu, kos implan merekodkan pembayaran tertinggi iaitu RM1.16 juta, diikuti bayaran FHUS sebanyak RM99,269.

PERKESO turut menjelaskan bahawa perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi kemalangan di luar waktu bekerja diberikan secara automatik walaupun potongan caruman belum dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, rawatan pemulihan kepada pencarum merupakan aspek penting bagi memastikan mereka dapat kembali bekerja seperti biasa selepas ditimpa musibah di luar waktu kerja, sekali gus menjamin kelangsungan pendapatan.

PERKESO turut memaklumkan jumlah faedah yang disalurkan setakat ini belum termasuk manfaat perkhidmatan rehabilitasi tanpa had yang turut disediakan kepada pencarum di bawah skim LINDUNG 24 Jam.

Bagaimanapun, pelaksanaan skim itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial, terutama berhubung mekanisme caruman dan proses tuntutan faedah.

Seorang pengguna media sosial, @zulaikharkb, mempersoalkan mengapa skim LINDUNG 24 Jam tidak dilaksanakan secara pilihan memandangkan ramai pekerja sudah mempunyai perlindungan insurans persendirian.

“Kenapa tak buat optional (pilihan) ya? Tahu kan ramai je yg dah ada insuran luar,” komen pengguna berkenaan.

Sementara itu, @hananirosti meminta penjelasan mengenai perbezaan antara caruman sedia ada dengan skim baharu tersebut serta mencadangkan supaya hanya satu caruman dikenakan.

“Jadi apa beza caruman dulu dan caruman sekarang? Kalau beza ialah sekadar 24 jam, tak boleh ke mansuhkan caruman dulu? Dan hanya buat satu caruman sahaja?” soalnya.

Seorang lagi pengguna, @ammr.zw, turut berpandangan skim itu wajar ditawarkan secara pilihan dan bukannya diwajibkan.

“Buat je optional. Zaman sekarang ramai yang dah ambil insuran. Jangan susahkan rakyat. Tak pun kau pergi jual insuran macam syarikat-syarikat lain. Kan senang,” ujarnya.

Baca juga: PM Anwar utus surat kepada Xi Jinping, perdalam kerjasama strategik Malaysia-China