Bekas kediaman mewah Ronaldo tular, kini dijual pada harga RM27.9 juta

Oleh KIM SYAZIE

Peminat nampaknya memiliki peluang untuk merasai suasana kediaman mewah yang pernah didiami Cristiano Ronaldo apabila ia kini dibuka untuk dijual pada harga AS$6.6 juta (RM27.9 juta).

Rumah tersebut didami bintang Portugal itu ketika bersama Manchester United.

Terletak di atas tanah seluas 9.3 hektar di Cheshire, kediaman berkenaan menampilkan seni bina moden serta pelbagai kemudahan bertaraf mewah.

Menurut Agensi, antara kemudahan disediakan ialah kolam renang tertutup, pawagam persendirian, bilik simpanan wain, gimnasium, gelanggang padel dan ruang khas untuk menerima tetamu.

Bahagian belakang rumah dihiasi landskap indah dengan teres batu yang luas, beberapa ruang santai serta meja makan luar yang sesuai untuk menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan.

Ia juga dilengkapi dengan taman yang dijaga rapi mengelilingi kolam hiasan lengkap dengan air terjun kecil yang mewujudkan suasana tenang dan eksklusif.

Rumah itu turut dilengkapi tingkap kaca dari lantai hingga siling yang membenarkan cahaya semula jadi memasuki setiap ruang selain menghubungkan bahagian dalam dan luar kediaman dengan lancar.

Reka bentuknya menggabungkan elemen batu, bata dan kaca, sekali gus menghasilkan kediaman yang bukan saja tampak megah, malah memberikan privasi serta keselesaan kepada pemiliknya.

Hiasan dalaman menampilkan karya seni berwarna-warni yang menyerlahkan karakter rumah itu, manakala konsep terbuka membolehkan ruang dapur dan ruang tamu bersambung dengan ruang makan.

Dapur moden berkenaan dilengkapi pulau dapur bersaiz besar, kabinet kayu, dinding batu hiasan serta pencahayaan terbina dalam yang menyerlahkan suasana mewah terutama pada waktu malam.

Gabungan reka bentuk elegan, fungsi praktikal dan kemasan premium menjadikan kediaman itu sesuai untuk aktiviti harian mahupun mengadakan majlis bersama tetamu.

Baca juga: Cashier dah ‘give up’ layan MyKasih? Tapi kisah mak cik ini buat ramai tersentuh