Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Johor termasuk mereka yang berada di Singapura, Kuala Lumpur dan negeri lain agar pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
Beliau berkata, setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan Johor dan berharap anak-anak Johor di perantauan dapat kembali bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurutnya, mandat perlu diberikan kepada calon-calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang disifatkan sebagai berintegriti, amanah dan komited bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira kaum mahupun latar belakang.
“Berikan mandat kepada calon-calon HARAPAN yang berintegriti, amanah dan bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri program Malam Anak Muda Kempas.
Anwar turut menegaskan Johor memerlukan barisan kepimpinan yang bukan sekadar bijak membuat janji, sebaliknya berani bekerja, menyelesaikan pelbagai masalah rakyat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
Beliau mengakhiri seruannya dengan mengajak rakyat Johor menyokong HARAPAN pada PRN kali ini menerusi slogan “Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.”
Baca juga: Dari Putrajaya terus ke Johor, PM Anwar santuni anak muda dalam program Kita Genk Madani