Kehadiran Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam program Dialog Terbuka Belia yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) di Dewan Felda Ulu Tebrau, semalam telah mengejutkan ramai pihak.
Menurutnya, kehadiran dalam majlis kempen PH itu adalah untuk memenuhi jemputan rakannya selain menyatakan sokongan kepada calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik.
Mohd. Puad yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu menekankan bahawa tindakannya bukanlah satu kesalahan memandangkan beliau sudah keluar daripada parti tersebut pada minggu lalu.
“Hak saya mahu menyokong sesiapa atas dasar peribadi calon itu. Saya bukan macam Hishamuddin Hussien Onn. Masih bergelar Ahli Parlimen UMNO, tetapi tandatangan Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin jadi Perdana Menteri.
“Dalam kempen itu, saya beritahu pengundi saya menyokong inisiatif kerajaan pusat mahu menjadikan Johor Bahru sebagai Shenzen Asia Tenggara. Kalau inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), berjaya mana mungkin Shenzen Asia Tenggara tidak berjaya.
“Onn Hafiz (Menteri Besar Johor) sendiri mengaku JS-SEZ adalah penyumbang besar Pelaburan Langsung Asing (FDI) naik. Maka tidak perlu Onn Hafiz jadikan isu JS-SEZ yang belum dilancarkan sebagai pertelagahan antara negeri dan pusat. Beralih kepada politik yang bebas dan seimbang,” katanya.
Perkongsian tersebut dibuat Mohd. Fuad yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor merangkap bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Dalam hantaran sama, beliau juga turut menyentuh pemikiran sempit segelintir pemimpin UMNO yang mengamalkan ‘politik bawah tempurung’ menggunakan sentimen perkauman seperti mengaitkannya dengan DAP.
Bekas Ahli Parlimen UMNO Batu Pahat itu sebaliknya kagum dengan perubahan masyarakat FELDA terutamanya di Ulu Tebrau yang bukan sahaja semakin bebas malah berani membuat pendirian politik.
“Begitulah pemikiran sempit segelintir pemimpin UMNO. Masih mengamal politik bawah tempurung. Mereka ingat dengan mengaitkan sesiapa sahaja dengan DAP, maka UMNO akan dapat sokongan orang Melayu? Walhal FELDA Ulu Tebrau dianggap kawasan hitam pada pihak lawan.
“Ia dianggap kubu kuat UMNO. Tetapi tidak malam tadi. Orang Felda telah berubah. Kehadiran ramai malam tadi bukti orang Felda bebas dan berani buat pendirian politik. Tetapi sebahagian pemimpin UMNO tidak berubah. Masih dengan naratif basi.
“UMNO makin jauh daripada Gen-Z dan Gen-Alpha. Sebab itu saya kata UMNO yang sudah berusia 80 tahun patut dipimpin oleh generasi keempat UMNO, bukan pemimpin ‘recycle’ (kitar semula). Tetapi pemimpin UMNO amat degil.” Ujarnya dalam hantaran tersebut.

Baca juga: Rakyat Johor berang bila PRN digunakan untuk bebas Najib