Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila wakil kerajaan mengadakan pertemuan di peringkat tertinggi dengan kepimpinan Republik Islam Iran bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dan meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri sesi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ayatollah Seyyed Ali Khamenei.
Dalam hantaran di Facebook, Mohamad memaklumkan beliau turut mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Pertama Republik Islam Iran, Dr. Mohammad Reza Aref.
Menurut Mohamad, pertemuan itu mencerminkan hubungan erat dan saling menghormati yang terus terjalin antara kedua-dua negara.
“Pertemuan di peringkat tertinggi ini membuktikan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Republik Islam Iran terus kukuh serta saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata, Mohammad Reza Aref turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian yang konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan umat Islam serta pendirian tegas negara dalam mengecam tindakan Amerika Syarikat dan Zionis Israel.
Katanya, Iran turut menghargai suara Malaysia yang berterusan menggesa supaya keadilan ditegakkan dan keamanan dikembalikan di rantau berkenaan.
Mohamad turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kepada kepimpinan Republik Islam Iran.
Menurutnya, walaupun Anwar tidak dapat menghadiri sesi berkenaan, semangat solidariti dan hubungan persahabatan Malaysia terhadap Iran tetap diteruskan menerusi lawatan rasmi tersebut.
“Kami juga membincangkan usaha untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang infrastruktur, teknologi, telekomunikasi, pendidikan dan keterjaminan makanan.
“Kerjasama ini diyakini mampu membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat Malaysia dan Iran.
“Dr. Mohammad Reza Aref turut menyatakan pandangan bahawa Malaysia dan Republik Islam Iran merupakan dua negara Islam yang memainkan peranan penting serta mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa,” kongsinya.
Mohamad berkata, Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang berprinsip, memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat serta menyokong segala usaha ke arah keamanan, keadilan dan kesejahteraan sejagat.
Baca juga: Rakyat Johor berang bila PRN digunakan untuk bebas Najib