Kebajikan rakyat akan terus menjadi teras utama manifesto Pakatan Harapan (PH) menerusi usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, menangani kos sara hidup dan memperkukuh kemudahan asas.
Perkara tersebut dipertegaskan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Perdana Menteri menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada Ahad.
Menurut Anwar, perkara tersebut turut disampaikan kepada masyarakat ketika beliau turun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Johor pagi tadi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau difahamkan memulakan siri jelajah di Johor hari ini dengan menyantuni masyarakat setempat menerusi program ‘PMX Santai Sarapan’ di Warung Pak Din, Kampung Sahri di Simpang Renggam, pagi tadi.
“Memulakan program hari ini dengan bersarapan bersama masyarakat di DUN Layang-Layang, Johor sambil mendengar sendiri pandangan dan keluhan mereka mengenai isu semasa.
“Saya tegaskan bahawa kebajikan rakyat akan terus menjadi teras manifesto HARAPAN menerusi usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, menangani kos sara hidup, memperkukuh kemudahan asas serta memastikan kesejahteraan setiap keluarga terus dipelihara,” katanya dalam perkongsian itu.
Terdahulu, ketibaan Anwar yang juga Presiden PKR kira-kira pada jam 8.40 pagi itu disambut oleh hampir 1,000 penduduk dan jentera parti dengan meriah bersama laungan ‘Reformasi’ daripada para penyokong.
Beliau meluangkan masa untuk bersarapan dengan penduduk kira-kira selama 20 minit sebelum mengambil peluang beramah mesra dan memenuhi permintaan orang ramai untuk bergambar bersama mereka.
Sekadar info, ketibaan Anwar dalam siri jelajah bersempena dengan kempen PRN Johor ke-16 itu turut diiringi oleh calon PH bagi kerusi DUN Machap, Nor Hafiz Roslan dan DUN Layang-Layang, Guna Balakrishnan.
Nor Hafiz berdepan saingan dua penjuru menentang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mewakili Barisan Nasional (BN), manakala Guna Balakrishnan pula bertanding secara tiga penjuru dengan Chua Jian Boon (BN-MCA) dan Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu).
Baca juga: Malaysia dipandang tinggi? Mat Sabu dedah apa berlaku dalam pertemuan dengan pemimpin tertinggi Iran