“Rumah saya, gaji saya yang bayar… tapi suami minta tukar nama”

Oleh MALAYSIADATELINE

“Rumah saya, gaji saya yang bayar… tapi suami mahu tukar nama.” Luahan seorang wanita mengenai permintaan suaminya untuk menukar hak milik rumah atas alasan sebagai ketua keluarga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menurut wanita itu, rumah berkenaan didaftarkan atas namanya dan bayaran ansuran dibuat melalui potongan gaji setiap bulan.

Dalam hantaran yang dimuat naik di platform Threads, wanita terbabit berkata suaminya mahu rumah itu didaftarkan atas namanya kerana beranggapan ketua keluarga sepatutnya menjadi pemilik kediaman tersebut.

“Suami minta mahu tukar nama pemilik rumah kepada nama dia, kerana dia ketua keluarga katanya. Rumah ini sekarang atas nama saya dan bayar potong gaji saya.

“Patut ke saya tukar?” soalnya di Threads.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warga maya, termasuk daripada pengacara Amin Idris yang berpandangan bahawa suami tidak berhak menuntut harta milik isteri jika ia diperoleh menggunakan wang isteri.

Menurutnya, menjadi ketua keluarga bukan alasan untuk menukar hak milik sesuatu aset yang dimiliki isteri.

“Tak tahulah dia belajar agama kat mana. Tapi haram hukumnya minta harta isteri. Melainkan puan dengan rela hati bagi.

“Sebab dia ketua keluargalah dia WAJIB cari tempat tinggal untuk isteri dan anak (sewa atau beli). Bukan rembat harta isteri. So JANGAN tukar nama puan. Ia hak puan,” tegasnya.

Susulan kenyataan itu, seorang pengguna Threads, @suhailasm, meminta penjelasan mengenai sandaran hukum yang dinyatakan.

“Maaf tanya ada ke dalil atau hadis atau ayat al-Quran yang mengatakan haram makan harta isteri ni. Saya nak simpan.

“Sebab kalau tunjuk kata En Min yang share ni kang laki aku tanya pula siapa Encik Amin ni,” soalnya.

Menjawab persoalan itu, Amin Idris merujuk kepada ayat al-Quran sebagai sandaran.

“Suruh dia baca Al-Baqarah ayat 233,” ujarnya.

Nota editor: Surah Al-Baqarah ayat 233 antara lain menjelaskan tanggungjawab bapa untuk menyediakan nafkah dan keperluan ibu serta anak-anak mengikut kemampuan dan cara yang makruf.