Program Rewang Sekijang Lempuk & Tempoyak bukan sahaja menjadi platform memelihara warisan makanan tradisional, malah berpotensi membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya golongan wanita.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, program yang berlangsung di Kampung Jawa itu turut menjadi medan memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, usaha memartabatkan produk tempatan seperti lempuk dan tempoyak perlu diteruskan kerana ia mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi penduduk setempat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Ekonomi Wanita Lestari dan semua pihak yang menjayakan Program Rewang Sekijang Lempuk & Tempoyak.
“Usaha memartabatkan produk tempatan seperti lempuk dan tempoyak mampu membuka peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya golongan wanita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan warisan makanan tradisional bukan sekadar perlu dipelihara, malah boleh dijadikan pemangkin pembangunan komuniti.
Dr Zaliha turut berharap tradisi rewang terus dipertahankan sebagai warisan berharga yang menyatukan masyarakat serta menjadi kebanggaan penduduk Sekijang untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Baca juga: Rakyat Johor makin matang, tak mudah dipengaruh politik kebencian dan fitnah – PM Anwar