Dah tukar IC pun tak selesai, penerima SARA dakwa duit ‘dirembat’ individu tak dikenali

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mendakwa wang bantuan yang dikreditkan ke dalam MyKad miliknya sekali lagi digunakan individu tidak dikenali, walaupun sudah membuat laporan polis dan memohon kad pengenalan baharu.

Menerusi satu hantaran di Threads, Schah_iwan mendakwa wang bantuan SARA bagi Julai berjumlah RM100 mula digunakan di sebuah pasar raya di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, tanpa pengetahuannya.

“Bukan main lahanat lagi pakai duit SARA aku bulan Julai pula. Aku dah apply buat IC (kad pengenalan) baru, IC baru dapat lagi.

“Haritu orang kat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kata apply IC baru IC lama tak boleh guna dah MyKasih apa semua,” ujarnya.

Menurutnya, dia hairan bagaimana transaksi masih boleh berlaku menggunakan MyKad lama walaupun kad pengenalan baharu telah dikeluarkan.

“Ni apa benda ni? Boleh je pencuri ni guna lagi. Yang duduk kaunter pun satu, bukan nak check muka. Memang masalah betullah pakai IC buat bayar tu ni mcm ni.

“Dengan tak boleh set passwordnya. Memang buta-buta je lah kena scam. Aku tak halalkan biar berulat ya perut kau makan duit haram,” tambahnya.

Pengguna itu turut mendakwa kejadian sama pernah berlaku sebelum ini dan dia telah berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa memaparkan individu menggunakan bantuan SARA miliknya.

Dalam hantaran terdahulu, dia mendakwa individu terbabit menggunakan MyKad miliknya untuk membuat pembelian di sebuah pasar raya di Setiawangsa.

Malah, dia turut memuat naik paparan sejarah transaksi yang didakwa menunjukkan beberapa pembelian dibuat di beberapa premis berbeza.

“Senarai tempat pencurik guna SARA aku. Tengoklah berapa tempat lepas. KK lepas, Hero lepas, Rosyam Mart lepas. Memang asal ada IC je lah,” katanya tidak berpuas hati.

Baca juga: Bekas kediaman mewah Ronaldo tular, kini dijual pada harga RM27.9 juta