Rakyat Johor makin matang, tak mudah dipengaruh politik kebencian dan fitnah – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Rakyat Johor sudah semakin matang dalam menilai pemimpin malah tidak lagi mudah dipengaruhi politik kebencian, fitnah serta adu domba dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa strategi politik sedemikian lahir daripada ketandusan idea yang langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya boleh menggugat perpaduan negara.

Sehubungan dengan itu, pengundi di Johor diseru untuk memilih kepimpinan berintegriti dan amanah yang benar-benar bekerja bukannya malah memecah-belahkan rakyat demi kepentingan politik.

Perkara itu turut disampaikan Anwar yang juga Perdana Menteri dalam Program Jelajah Harapan Felda bersama PMX di Dataran Putra Felda Palong Timur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Segamat semalam.

“Di Felda Palong Timur, saya tegaskan bahawa rakyat Johor semakin matang dan tidak lagi mudah dipengaruhi politik kebencian, fitnah serta adu domba yang lahir daripada ketandusan idea.

“Johor memerlukan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan amanah, yang bekerja untuk rakyat, bukannya memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan politik,” kata Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook.

Anwar yang juga Presiden PKR itu yakin bahawa rakyat Johor mampu membuat pilihan tepat dan memilih calon PH demi masa depan negeri yang lebih maju, stabil serta bermaruah.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kewangan itu menghadiri lapan program pada Ahad dalam siri jelajahnya di Johor untuk memberi dukungan kepada 56 calon dan jentera gabungan politik PH sempena PRN-16 pada 11 Julai ini.

Baca juga: Dah tukar IC pun tak selesai, penerima SARA dakwa duit ‘dirembat’ individu tak dikenali