Beli sebab nampak seller selit ‘RM50’, sekali bila buka sampul lain pula ceritanya

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan seorang wanita membeli barangan ketika siaran langsung di TikTok selepas melihat seorang peniaga menyelitkan wang tunai ke dalam parcel pelanggan mengundang perhatian ramai di media sosial.

Menerusi perkongsian pengguna Threads @eiyhaomar, dia berkata ibunya sering mengikuti siaran langsung jualan di satu platform terkenal.

Menurutnya, ibunya tertarik untuk membeli selepas melihat peniaga berkenaan memasukkan wang RM50 ke dalam setiap parcel pelanggan yang membuat pembelian ketika siaran langsung berlangsung.

“Mak aku selalu join live orang menjual dekat TT. Ada seller ni tengah-tengah masukkan duit RM50 kepada siapa yang beli barang dia.

“Mak pun terpengaruh sebab tengok seller masukkan dekat semua parcel orang yang beli. Kot-kot ada rezeki dia, jadi dia pun beli,” tulisnya.

Apabila parcel tersebut tiba, ibunya yang tiada di rumah meminta dia untuk membuka bungkusan berkenaan.

Menerusi video berkenaan, pelanggan itu menunjukkan sebuah sampul bertulis RM50 yang disertakan bersama parcel.

Bagaimanapun, apabila dibuka, sampul tersebut hanya mengandungi wang tunai RM3 yang meraih ketawa pemilik yang merakam video berkenaan.

Rata-rata netizen berkongsi menerima nasib yang sama namun ada juga memaklumkan mereka benar-benar dapat hadiah dijanjikan.

“Weh jahatnya pakai sampul untuk tipu orang, dahlah orang tua zaman sekarang senang kena tipu dengan barang barang online ni,” komen Fadzilah.

“Kalau tengok live produk kosmetik, masa live tunjuk masuk duit ratus-ratus tapi baca ‘review’ ada yang cakap dapar RM2 ke RM3 je,” komen pengguna Threads.

“Pernah dapat gold bar, masa tu beli foundation, tetiba satu hari dapat mesej ada barang sampai, sekali tengok dapat gold bar, rezeki betul,” komen seorang lagi pengguna Threads.

Baca juga: ‘Tak sangka takut kena ‘interview’ – Caprice persoal kenapa calon BN semua elak ditemu bual