PM Anwar umum insentif buat warga Felda, jadi bukti kerajaan dengar denyut nadi rakyat

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan khabar gembira buat warga FELDA melibatkan insentif kerajaan termasuk perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa insentif atau ‘buah tangan’ tersebut lahir daripada kesungguhan kerajaan dalam mendengar denyut nadi rakyat khususnya warga FELDA.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, beliau turut memberikan jaminan bahawa pentadbiran kerajaan akan meneruskan usaha bagi mencari jalan penyelesaian yang benar-benar bermanfaat kepada rakyat.

“Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan dengan penuh iltizam agar kemakmuran yang dibina dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh. Semoga segala ikhtiar ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan baharu FELDA demi kesejahteraan seluruh warganya,” katanya dalam perkongsian itu.

Berikut kami senaraikan beberapa inisiatif kerajaan yang akan memberi manfaat kepada warga FELDA termasuk generasi baharu seperti diumumkan oleh pemimpin nombor satu negara itu;

Usaha Pemulihan Kewangan FELDA

  • Peruntukan sekitar RM990 juga untuk menanggung bayaran balik sukuk dan menghapuskan hutang peneroka yang tertunggak akibat kelemahan pentadbiran terdahulu
  • Suntikan dana sekitar RM1 bilion untuk tahun 2027 dengan harapan FELDA akan melaksakan tatakelola yang lebih baik terutama dalam pengurusan kewangan agensi itu.
  • Model jualan minyak sawit mentah dikembalikan kepada sistem asal diguna sebelum penyenaraian Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam Felda Global Ventures (FGV) dengan manfaat tambahan pendapatan sehingga RM42 juta.

Perumahan buat Semua Generasi Felda dengan Perutukan RM620 juta

  • Pindaan Akta Tanah melibatkan Akta 530 yang akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
  • Pembinaan dua rumah di atas satu lot (2R1L) sudah siap dibina dan diduduki sehingga 31 Dis 2025 dan kerajaan akan meluluskan proses pemutihan dan sambung utiliti air dan elektrik serta-merta.
  • Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA dengan peruntukan tambahan sebanyak RM140 juta termasuk untuk menyelesaikan sekitar 554 unit projek terbengkalai.
  • Peruntukan tambahan RM20 juta untuk Projek Sentuhan Kasih FELDA yang berasaskan pertanian bagi dua lokasi membabitkan SKF Laka Selatan, Kedah (86 unit) dan SKF Palong 16, Negeri Sembilan (102 unit)
  • Sebanyak 31,954 Lot Generasi FELDA (LGF) dikenal pasti untuk mempercepat proses pemberimilikan dengan kos infrastruktur bakal ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Peruntukan RM28.85 juta bagi Inisiatif Digital, Pendidikan dan Kesihatan

  • Dana sebanyak RM50,000 disalurkan untuk setiap rancangan literasi digital membabitkan 317 rancangan dengan kos keseluruhan sebanyak RM15.85 juta.
  • Peruntukan sekitar RM10 juta bertujuan untuk membaik pulih sebanyak 370 institusi pendidikan melibatkan 269 Sekolah Rendah dan 101 Sekolah Menengah
  • Kerajaan membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk memperkukuh peranan Skuad MAYA FELDA iaitu pasukan sukarelawan kesihatan yang dianggotai oleh warga peneroka dengan melibatkan 1,555 petugas.

Menaik Taraf Rumah Petugas FELDA

  • Peruntukan sebanyak RM450 JUTA sudah diluluskan oleh kerajaan untuk membiayai projek baik pulih dan membina rumah baharu buat petugas dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Baca juga: RM100,000 perlindungan kesihatan, 80,000 rumah… Ini 10 tawaran PH untuk rakyat Johor