Kementerian Kewangan mengumumkan Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi berjumlah RM400 bagi bulan Julai 2026 telah mula disalurkan kepada petani dan pekebun kecil di seluruh negara yang membuat permohonan dalam tempoh 1 hingga 30 Jun 2026.
Menurut kementerian, jumlah keseluruhan RM400 itu merangkumi RM200 bantuan sedia ada serta RM200 bantuan interim di bawah inisiatif BUDI MADANI Diesel bagi membantu golongan terbabit mengurangkan beban kos operasi.
Pada masa sama, Kementerian Kewangan memaklumkan permohonan BUDI Diesel masih dibuka dan pembayaran akan dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Berdasarkan jadual pembayaran, permohonan yang diterima sepanjang 1 hingga 31 Julai akan dibayar pada 7 Ogos, manakala permohonan 1 hingga 31 Ogos akan menerima bayaran pada 8 September.
Bagi permohonan 1 hingga 30 September, pembayaran dijadualkan pada 8 Oktober, diikuti 6 November bagi permohonan Oktober, 8 Disember bagi permohonan November dan 8 Januari 2027 untuk permohonan yang diterima sepanjang Disember.
Orang ramai yang layak dan belum membuat permohonan boleh berbuat demikian melalui portal rasmi budidiesel.gov.my.
Baca juga: Kerajaan Madani fokus perkukuh Felda, pastikan peneroka benar-benar terima manfaat