Kerajaan Madani akan terus memperkukuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan memastikan setiap ikhtiar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat khususnya kepada para peneroka dan keluarga mereka.
Perkara ini termasuklah gesaan kepada pihak Felda untuk menggandakan usaha mereka dalam mencari jalan penyelesaian berhubung isu berbangkit yang sudah sekian lama membelenggu warga peneroka.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa isu ini termasuklah melibatkan perumahan generasi kedua dan pemilikan tanah.
Pemimpin nombor satu negara itu menegaskan bahawa isu tersebut tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan sebaliknya perlu diselesaikan dalam kadar segera demi kepentingan warga Felda.
“Felda perlu melipatgandakan usaha menyelesaikan segala isu yang sekian lama membelenggu warga peneroka, khususnya terkait perumahan generasi kedua dan pemilikan tanah.
“Isu-isu ini tidak boleh terus dibiarkan berlarutan dan saya mahukan tindakan segera yang berpaksikan kepentingan warga Felda, dengan setiap permasalahan diteliti secara cermat dan disusuli pelan penyelesaian yang jelas,” katanya.
Sekadar info, Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun itu dijadualkan untuk merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, hari ini.
Beliau dijangka menyampaikan ucapan perasmian pada 2.30 petang ini untuk mengiktiraf jasa serta pengorbanan warga peneroka yang sudah menjadi tulang belakang pembangunan FELDA selama 70 tahun sejak 1956 lalu.
Baca juga: Pengundian awal PRN Johor bermula, Saifuddin seru jentera PH terus turun padang