Tuai tilapia kali kelima, Mat Sabu jamu Duta Rusia, Iran dan Uzbekistan di rumah

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sekali lagi menuai hasil ikan tilapia yang diternak di kediamannya, sekali gus menandakan kali kelima beliau menikmati hasil ternakan tersebut.

Mohamad yang mesra disapa Bang Mat berkata, tuaian kali ini lebih istimewa apabila beliau menerima kunjungan Duta Rusia, Duta Iran dan Duta Uzbekistan yang turut menikmati ikan tilapia segar hasil ternakannya.

“Hari ini Bang Mat tuai ikan tilapia yang diternak di rumah buat kali kelima. Pejam celik, dah lima kali tuai. Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan.

“Kali ini lebih istimewa sebab Bang Mat menerima kunjungan Duta Rusia, Duta Iran dan Duta Uzbekistan ke rumah untuk sama-sama menikmati hasil tuaian ikan tilapia segar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Mohamad, amalan berkongsi rezeki dan menikmati juadah bersama merupakan antara cara terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

Malah, sebelum tetamunya pulang, beliau turut menghadiahkan ikan tilapia segar kepada semua yang hadir.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak serta warga kementerian yang bersama-sama memeriahkan acara tuaian tersebut.

Mohamad berharap hubungan silaturahim yang terjalin dapat terus berkekalan, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Semoga silaturahim yang terjalin ini akan terus berkekalan dan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pertanian serta keterjaminan makanan,” katanya.

Baca juga: Pertarungan PRN Johor rasmi berakhir, parti mana hilang deposit paling banyak?