Sebuah iklan bilik sewa di Bukit Bintang menjadi pertikaian ramai selepas pemilik memuat naik iklan memaparkan sebuah bilik mandi diubah suai menjadi tempat tidur.
Perkara itu dikongsikan seorang wanita menerusi aplikasi Threads selepas dia menemui iklan berkenaan ketika sedang mencari bilik untuk disewa di Kuala Lumpur.
“Tengah mencari bilik untuk disewa, terjumpa ini. Tergamak buat tandas sebagai bilik untuk bagi sewa kepada orang,” tulisnya.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, bilik tersebut ditawarkan pada kadar RM950 sebulan dan diiklankan sebagai terletak di Bukit Bintang.
Gambar iklan berkenaan memaparkan sebuah tilam diletakkan di atas bath tub berhampiran tingkap, manakala bahagian dinding dan lantainya dipasang jubin seperti kebiasaan sebuah bilik mandi.
Turut kelihatan ialah cermin, singki serta beberapa kelengkapan yang menyebabkan warganet mendakwa ruang tersebut asalnya merupakan tandas atau bilik mandi.
Seorang netizen berseloroh bahawa terdapat “tab mandi di bawah tilam” dan penyewa tidak perlu berkongsi kemudahan itu dengan orang lain.
“Bawah tilam ada bathtub tu. Semua dalam pakej, tak perlu berebut dengan orang lain,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna menyifatkan tawaran itu sebagai “titik terendah menyewa di Kuala Lumpur”, manakala ada yang mengaitkan keadaan tersebut dengan gambaran kediaman sempit dalam filem Korea, Parasite.
“Sudah menyerupai cerita Parasite Korea,” komen seorang pengguna.
Tidak kurang juga yang mempersoalkan aspek kebersihan dan keselesaan ruang berkenaan.
“RM950 untuk menyewa tandas, boleh sewa sebuah rumah di tempat lain,” tulis seorang netizen.
“Pakej bau hancing,” seloroh pengguna lain.
Baca juga: Pertarungan PRN Johor rasmi berakhir, parti mana hilang deposit paling banyak?