Malaysia kembali merekodkan pencapaian dengan menerajui pasaran tawaran awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara bagi tempoh separuh pertama untuk kali kedua berturut-turut.
Berdasarkan laporan Ringkasan IPO Pertengahan Tahun Asia Tenggara 2026 diterbit firma audit iaitu Deloitte, pencapaian ini disokong oleh kejayaan penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Bhd.
Penyenaraian tersebut mengumpul sekitar AS$707 juta (RM2.88 bilion) dan mencapai permodalan pasaran sebanyak AS$4.13 bilion (RM16.84 bilion) sekali gus muncul sebagai salah satu daripada tiga IPO utama di rantau ini.
Pada separuh pertama tahun 2025, Malaysia mencatatkan 32 IPO dengan mengumpul dana berjumlah AS$940 juta (RM3.83 bilion) dan berjaya meraih permodalan pasaran IPO sebanyak AS$4.036 bilion (RM16.46 bilion).
Malaysia kemudian merekodkan 36 IPO pada separuh pertama 2026 dengan berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1.344 bilion (RM5.48 bilion) dan mencatatkan jumlah permodalan pasaran AS$6.511 bilion (RM26.55 bilion).
“Malaysia dijangka mengekalkan momentum IPO yang kukuh, manakala Singapura dijangka terus menarik penyenaraian institusi yang besar,” kata laporan tersebut berhubung pencapaian pasaran Asia Tenggara.
Menurut laporan tersebut, Singapura berjaya mengatasi Indonesia dalam kedudukan IPO Asia Tenggara hasil daripada peningkatan keyakinan pelabur dan sokongan padu terhadap pembaharuan pasaran.
Vietnam pula mencatatkan pemulihan kukuh dengan mengumpul permodalan pasaran tertinggi di rantau ini pada AS$6.93 bilion (RM28.26 bilion) melibatkan empat IPO pada separuh pertama 2026, daripada sifar IPO pada separuh pertama 2025.
Baca juga: Penyeludup dan ‘pemain’ beras bakal berdepan hukuman lebih keras, denda cecah RM1 juta