PM Anwar bongkar sikap, kongsi pengalaman kerja dengan Aminuddin Harun

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan amanah serta tidak banyak berbicara soal diri sendiri sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pekerjaan dan kebajikan rakyat.

Perkara itu disampaikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di platform Facebook mengenai pengalaman sepanjang beliau bekerja dengan Aminuddin yang juga merupakan Pengerusi PKR Negeri Sembilan.

Anwar yang juga Perdana Menteri itu menekankan bahawa keserasian Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah sangat penting bagi membolehkan pelbagai projek serta inisiatif dilaksanakan dengan lebih lancar demi manfaat Negeri Sembilan.

Sehubungan dengan itu, seluruh rakyat Negeri Sembilan diseru untuk mengekalkan kesinambungan kepimpinan stabil terutamanya ketika wilayah Adat Perpatih ini berada di landasan yang baik menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

“Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang bersih, berwibawa dan mampu memastikan agenda pembangunan terus dipacu, pelaburan terus masuk, peluang pekerjaan terus diwujudkan serta kebajikan rakyat terus dipelihara.

“Oleh sebab itu, saya dengan penuh rendah diri merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, agar memberikan mandat kepada HARAPAN untuk meneruskan usaha ini.

“Mandat itu bukan untuk mengangkat mana-mana individu. Tetapi untuk memastikan segala perancangan yang telah dimulakan dapat disempurnakan demi kesejahteraan rakyat, anak-anak kita dan generasi akan datang,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam perkongsian itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa barisan kepimpinan gabungan tersebut akan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab jika terus diberikan kepercayaan untuk memegang mandat Negeri Sembilan.

“Kami akan bekerja dengan lebih kuat, mendengar dengan lebih dekat dan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab agar Negeri Sembilan terus melangkah sebagai sebuah negeri yang makmur, stabil dan maju.” Ujarnya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu, 18 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pula pada 28 Julai dan hari pengundian 1 Ogos.

Sekadar info, gabungan PH akan bertanding di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dengan pembahagian telah ditetapkan menyaksikan PKR mempertaruhkan seramai 16 calon diikuti DAP (11) dan Amanah (sembilan).

Baca juga: Malaysia Akan Usir Segera Rakyat Israel Memasuki Negara – PM Anwar