PM Anwar kongsi strategi kerajaan hadapi krisis bekalan, agenda peralihan tenaga terus dilaksana

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia mesti bersiap siaga untuk menjamin keterjaminan tenaga dalam jangka panjang tatkala ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan terus mencengkam dunia.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara tersusun dan berimpak dengan berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa perkara tersebut menjadi fokus utama perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 2026 yang dipengerusikan beliau semalam.

Anwar menerusi perkongsian di platform Facebook menjelaskan bahawa langkah strategik yang dilakukan kerajaan termasuklah peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu, bahan api alternatif dan elektrifikasi pengangkutan awam.

“Setakat Disember lalu, kita telah meningkatkan kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara kepada 31 peratus selaras usaha mengurangkan kebergantungan kepada arang batu Usaha ini diperkukuh melalui kejayaan Skim CRESS yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

“Dalam sektor pengangkutan pula, pelaksanaan Biodiesel B15 memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan, dan akan diperkukuh dengan hab biobahan api PETRONAS di Pengerang.

“Projek elektrifikasi pengangkutan awam pula berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan 800 kilometer rangkaian rel. Di Sarawak, Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi Transit Aliran Automatik (ART) dijadual siap hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji keperluan serta strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh daya tahan negara.

Baca juga: “Dulu susah nak jumpa, kini penuh di rak” – Rakyat puji PMX isu minyak masak paket