Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap pasukan Sepanyol menjelang aksi final Piala Dunia FIFA menentang Argentina yang akan diadakan pada Isnin ini di Stadium New York, New Jersey.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengakui bahawa sokongan tersebut datang daripada kekaguman beliau terhadap bintang muda, Lamine Yamal iaitu pemain sayap kanan pasukan Sepanyol.
Hal ini kerana Yamal miliki ‘positioning’ yang baik bukan sahaja dalam permainan bola sepak malah daripada segi tanggungjawab kemanusiaan dengan menunjukkan solidariti terhadap penderitaan masyarakat Palestin.
Perkara tersebut dikongsikan Anwar selepas menerima soalan tentang pasukan pilihan beliau dalam final Piala Dunia ketika sedang beramah mesra bersama rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat di Nilai, Negeri Sembilan.
“Saya (sokong) Sepanyol. Dia (Lamine Yamal) pro-Gaza, Palestin,” jawab Anwar dalam satu rakaman berdurasi dua minit 43 saat yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.
Difahamkan, Anwar mengadakan kunjungan di Nilai, Negeri Sembilan semalam dan sempat menikmati makan tengah hari di sebuah restoran sebelum menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat.
Menerusi rakaman tersebut, pemimpin nombor satu negara itu dilihat meluangkan masanya untuk menyantuni rakyat merentas generasi dengan bersalaman dan mengambil gambar bersama mereka.
Beliau turut menyampaikan pesanan kepada sekumpulan kanak-kanak supaya rajin membaca buku, menyayangi dan menghormati ibu bapa serta sempat mengusik mereka untuk membayar caj mengambil gambar bersama.
“Alhamdulillah. Di celah jadual hari ini, sempat menikmati makan tengah hari di Restoran Suhada, Nilai dan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat.
“Kepada para murid dan bakal guru, teruslah mengejar ilmu dengan tekun, membina sahsiah yang baik dan menggalas amanah pendidikan sebaiknya. Dari bilik darjah lahir generasi yang akan mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya di ruangan kapsyen.
Sekadar info, Yamal beberapa kali mencuri perhatian apabila menunjukkan solidariti beliau terhadap Palestin dalam penampilan awam dan media sosial dengan memuat naik simbol serta mesej berkaitan penderitaan rakyat Gaza.
Pemain berusia 18 tahun itu sekali lagi mencetuskan sensasi dengan mengibarkan bendera Palestin ketika sambutan kejuaraan La Liga Barcelona dalam perarakan bas terbuka di Barcelona pada 11 Mei lalu.
Tindakan itu mengundang kritikan daripada pihak pro-Israel namun dipertahankan oleh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang memaklumkan bahawa rakyat tempatan malah berbangga dengan pemain terbabit.
Baca juga: Anak muda tak minat kerja tebar roti canai walau ditawar gaji RM3,000 & kerja setengah hari