Walaupun diberi gaji RM3000 sebulan dan bekerja sampai tengah hari, golongan belia masih kurang minat dan menganggap kerja tebar roti canai untuk warga asing.
Susulan kurang minat itu, Malaysia bakal berdepan kekurangan penebar roti canai selepas pekerjaan itu tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan pekerja tempatan.
Apatah lagi, isu kekurangan pekerja asing terutama bagi sektor restoran juga menjadikan kerja berkenaan berada pada kelas tersendiri dan hanya dipelopori mereka yang mempunyai minat saja.
Sementara golongan muda hari ini ini lebih menumpukan kepada pekerjaan di dalam gig ekonomi dan berkaitan dengan teknologi serta media sosial yang dilihat lebih mudah.
Padahal rata-rata penebar roti canai di restoran mamak di negara ini menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berserta penginapan dan manfaat perubatan.
Kebanyakan penebar ini akan dibahagi kepada dua syif kerja iaitu pagi dan petang di mana mereka akan menebar ratusan roti canai seawal jam 6 pagi sehingga tengah hari sebelum digantikan rakan mereka sehingga malam.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan memberitahu isu kekurangan pekerja ketika ini menyebabkan ada penebar roti canai yang perlu bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Kebanyakan mereka ini memiliki pengalaman di negara asal dan selepas bekerja di negara ini dalam tempoh beberapa tahun, mereka lebih mahir menebar roti canai mengikut permintaan pelanggan.Ekonomi
“Sebelum ini, Presma pernah menyediakan latihan kepada pekerja tempatan, tetapi entah di mana silapnya, hanya dalam jumlah yang kecil saja yang boleh bertahan, selebihnya terpaksa bergantung kepada pekerja asing,” katanya.
Apa yang penting katanya, ketika ini bagaimana untuk mengembalikan minat pekerja tempatan untuk membina kerjaya sebagai penebar roti canai sama ada di restoran mamak atau pun gerai medan selera.