Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan 16 reformasi utama sejak Januari 2026 bagi memperkukuh integriti, meningkatkan ketelusan serta menambah baik sistem tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelbagai pembaharuan itu dilaksanakan bagi menjadikan pentadbiran DBKL lebih telus, berakauntabiliti dan berintegriti.
Antara reformasi utama ialah pemansuhan Jawatankuasa Pusat Setempat Khas (OSC Khas) yang sebelum ini dipengerusikan oleh menteri bagi memastikan pengasingan kuasa yang lebih jelas.
“DBKL memansuhkan Jawatankuasa Pusat Setempat Khas atau OSC Khas yang dipengerusikan oleh Menteri bagi memastikan pengasingan kuasa yang lebih jelas.
“Langkah ini bertujuan mengelakkan potensi campur tangan dalam keputusan berkaitan pembangunan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu, DBKL akan melaksanakan lima garis panduan baharu dan mengemas kini enam garis panduan sedia ada berdasarkan kriteria Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melibatkan pengurusan bazar, lesen dan perumahan awam.
Bagi memperkukuh aspek integriti, DBKL turut memeterai Nota Kerjasama dan Surat Persefahaman bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Institut Integriti Malaysia dan SPRM.
“Kerjasama ini bertujuan memperkukuh integriti, tatakelola dan akauntabiliti dalam pentadbiran DBKL,” jelasnya.
Menurut Hannah, DBKL juga menubuhkan Pasukan Petugas Aduan melibatkan 60 kakitangan di empat zon operasi bagi mengesan isu perbandaran lebih awal sebelum menjadi aduan awam.
Dalam usaha meningkatkan ketelusan proses pembangunan, Portal OSC 3.0 Plus diperkenalkan bagi membolehkan pihak berkepentingan menyemak status permohonan pembangunan yang sedang diproses.
“Akses ini menjadikan proses pertimbangan pembangunan lebih telus, inklusif dan responsif,” tambahnya.
DBKL turut memperkenalkan Pelan Antirasuah Organisasi 2.0 yang dibangunkan dengan khidmat nasihat Institut Integriti Malaysia bagi menggantikan pelan terdahulu untuk tempoh 2021 hingga 2025.
Selain itu, Pelan Strategik Pendigitalan DBKL 2026–2030 akan dilaksanakan bagi membangunkan ekosistem bandar pintar berasaskan data dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.
Dalam aspek pelesenan, sistem e-Lesen akan diintegrasikan sepenuhnya dengan Sistem Penguatkuasaan Jabatan bagi mempercepatkan semakan kompaun dan proses saringan permohonan lesen.
Perniagaan yang layak turut dibenarkan memperbaharui lesen sehingga tiga tahun. Pembaharuan lesen selama dua tahun akan menikmati diskaun fi sebanyak lima peratus, manakala pembaharuan tiga tahun menerima diskaun 10 peratus.
Bagi memperkukuh tadbir urus, had kuasa Datuk Bandar untuk meluluskan sumbangan dihadkan kepada permohonan di bawah RM3,000, manakala permohonan melebihi jumlah itu perlu diputuskan oleh jawatankuasa.
Kuasa eksklusif Datuk Bandar dalam urusan kewangan dan perolehan juga digantikan dengan keputusan berasaskan nasihat jawatankuasa, selain pelantikan Pengarah Eksekutif DBKL secara bergilir sebagai Pengerusi Lembaga Perolehan.
Dalam masa sama, Mesyuarat Konsultasi DBKL bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah Eksekutif DBKL dan Ahli Parlimen berkaitan bagi menghasilkan keputusan yang lebih inklusif.
Lima Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan turut diwujudkan dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memantau perbelanjaan berkaitan penjaja, PA/PPR, banjir, jalan raya, cerun, trafik, kebersihan dan bandar hijau.
Ahli Lembaga Penasihat pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Sumbangan, Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Tatakelola bagi memperkukuh semak dan imbang serta mengelakkan konflik kepentingan.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh semak dan imbang serta mengelakkan konflik kepentingan,” kongsinya
Agenda strategik turut dimasukkan ke dalam Garis Panduan Pengurusan Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan fungsi nasihat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tersusun.
Hannah berkata, Majlis Menteri Wilayah juga akan ditransformasikan daripada platform pelaporan aduan kepada platform rasmi perancangan dasar strategik.
“Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan menjalankan fungsi representasi awam serta semak dan imbang melalui platform ini,” ujarnya.
Menurut beliau, kesemua 16 reformasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan DBKL sebuah institusi yang lebih telus, berintegriti serta responsif terhadap keperluan warga Kuala Lumpur.
Baca juga: Penamaan Calon Buka Tirai PRN Negeri Sembilan Ke-16