Mak mentua simpan rantai emas yang tak ditebus 30 tahun, sekali trade-in hampir RM20,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita berkongsi kisah mengejutkan selepas mendapati seutas rantai emas lama yang disimpan ibu mentuanya selama lebih 30 tahun kini bernilai hampir RM20,000.

Menerusi satu hantaran di Threads, wanita itu berkata rantai emas berkenaan asalnya dipajak kepada ibu mentuanya oleh seseorang yang memerlukan wang sekitar tiga dekad lalu.

Menurutnya, individu terbabit dipercayai meminjam sekitar RM500 hingga RM1,000 ketika itu, namun tidak pernah kembali untuk menebus rantai emas tersebut.

“Tadi mak mertua bagi rantai emas lama 30 tahun lepas. Ada orang pajak dengan dia RM500 ke RM1,000 masa tu sebab nak pakai duit tapi tak ambil,” tulisnya.

Selepas membawa rantai itu ke kedai emas untuk urusan tukar beli (trade-in), mereka mendapati beratnya mencecah 40.67 gram dengan nilai semasa hampir RM20,000.

Menurut wanita itu, hasil trade-in tersebut digunakan untuk membeli rantai dan gelang emas baharu buat ibu mentuanya.

“Mak suka sangat sebab cantik. Tapi dia cakap takut nak pakai dekat rumah. Dia suruh belikan emas Korea saja,” katanya berseloroh.

Dalam hantaran sama, wanita itu turut bergurau meminta ibu mentuanya menghadiahkan rantai emas berkenaan kepadanya sekiranya tidak mahu memakainya.

Baca juga: Gen Z bukan generasi manja, mentaliti ‘orang lama’ punca salah faham, kata pakar