Generasi Z (Gen Z) tidak wajar dilabel sebagai manja atau malas kerana cara mereka berfikir dan bekerja dibentuk oleh persekitaran serta perkembangan teknologi yang berbeza daripada generasi terdahulu.
Pakar keibubapaan, Mohd. Fhais Salim berkata, setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah atau istilah sains tabula rasa atau lembaran kertas putih.
Oleh itu ibu bapa, keluarga, persekitaran dan pengalaman hidup yang dilalui sejak kecil membentuk cara pemikiran serta identiti mereka, katanya menurut Kosmo.
Beliau berkata, Gen Z dan Generasi Alpha membesar dalam dunia yang dikelilingi skrin dan teknologi digital, sekali gus membentuk budaya hidup yang pantas, mudah dan mengikut permintaan.
Keadaan itu menurutnya, menyebabkan ramai tersilap menganggap generasi muda hari ini malas atau tidak sanggup bekerja keras.
“Hakikatnya, mereka dibesarkan dengan pendekatan berbeza.
“Generasi terdahulu dididik dengan konsep bekerja keras menggunakan fizikal, tetapi generasi hari ini lebih cenderung kepada pendekatan bekerja secara bijak dengan memanfaatkan teknologi bagi menjimatkan masa dan tenaga,” katanya seperti dipetik Kosmo!.
Mohd. Fhais turut menolak tanggapan bahawa Gen Z bersifat manja hanya kerana mereka lebih lantang menyuarakan ketidakpuasan hati di tempat kerja.
Sebaliknya beliau berkata, masalah yang berlaku hari ini adalah generasi lama masih membawa mentaliti dan perspektif lama yang biasa diamalkan, kemudian mengharapkan generasi baharu menjadi sama seperti mereka.
“Generasi muda hari ini bakal mewarisi masa depan dan jika kita kegagalan memahami cara mereka berfikir ia hanya akan menyukarkan usaha untuk membina masyarakat yang lebih harmoni.
“Jadi ibu bapa dan orang dewasa perlu mengubah pendekatan dengan lebih banyak mendengar kerana cara mereka memproses maklumat dan menyelesaikan masalah menggunakan pendekatan yang berbeza,” katanya lagi seperti dipetik.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan perspektif, identiti dan kepercayaan antara generasi perlu diraikan, bukannya dijadikan alasan untuk saling menyalahkan.
Menurutnya, komunikasi merupakan kunci utama bagi merapatkan jurang antara generasi kerana ia membolehkan setiap pihak memahami sudut pandang yang berbeza sebelum membuat penilaian.
Baca juga: DUN Chennah Kritikal Tentukan Mandat Kerajaan Negeri – Loke