Kementerian Kewangan beri amaran! Jangan terperdaya ‘scam’ pegawai STR, SARA

Oleh MALAYSIADATELINE

Orang ramai dinasihati agar berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan menggunakan nombor telefon yang menyerupai talian rasmi.

Peringatan tersebut disampaikan oleh Kementerian Kewangan menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook sebagai amaran berhubung kegiatan penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam hantaran itu , orang ramai dinasihati untuk tidak sesekali berkongsi nombor kad pengenalan MyKad, nombor akaun bank, kod pengesahan transaksi (TAC atau OTP), kata laluan atau PIN perbankan serta maklumat peribadi dan kewangan.

“Ingat! Kementerian Kewangan tidak melantik mana-mana pihak ketiga untuk menggunakan talian rasmi STR atau SARA. Kementerian Kewangan juga tidak akan meminta sebarang bayaran bagi urusan berkaitan STR atau SARA.

“Sekiranya anda menerima panggilan yang mencurigakan, jangan panik. Tamatkan panggilan dan hubungi talian rasmi STR/SARA di 03-8882 4565 / 4566 untuk pengesahan.

“Fikir dahulu sebelum berkongsi maklumat. Lindungi diri anda daripada menjadi mangsa penipuan.” Kata kenyataan yang dikongsikan melalui akaun Facebook rasmi Kementerian Kewangan tersebut.

Baca juga: Terpecahkan botol tester, sekali staf minta bayar lebih RM1,000