Isu data Khairul Aming makin serius, Fahmi arah MCMC siasat segera

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan tidak memandang ringan dakwaan kebocoran maklumat peribadi yang dikongsikan pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu lapor Kosmo! Online.

Fahmi berkata, MCMC akan mendapatkan laporan lengkap berhubung insiden berkenaan bagi mengenal pasti sama ada benar berlaku akses tanpa kebenaran terhadap maklumat pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, dakwaan yang dibangkitkan Khairul Aming menerusi platform Threads menimbulkan persoalan serius kerana ia membayangkan terdapat pihak yang mempunyai akses kepada data pelanggan serta maklumat dalam sistem dalaman syarikat telekomunikasi.

Beliau turut memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat telekomunikasi terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu.

“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming.

“Saya juga akan meminta MCMC mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya.

Isu itu mula menjadi perhatian selepas Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat bil telefon miliknya boleh diketahui dan dikongsikan secara terbuka di media sosial oleh individu lain.

Dalam penjelasannya, Khairul Aming berkata beliau sememangnya membuat bayaran bil secara pendahuluan untuk beberapa bulan.

Justeru isu sebenar bukanlah mengenai jumlah bil yang didakwa tertunggak, sebaliknya bagaimana maklumat peribadinya boleh diakses oleh pihak yang tidak sepatutnya.

Perkongsian itu mengundang kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai aspek keselamatan data peribadi pelanggan.

Ini sekali gus mencetuskan gesaan supaya siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.

Baca juga: “Ini personal data saya” Khairul Aming berang maklumat bil telefon didedahkan di media sosial