PM Anwar turun Negeri Sembilan, hadiri 4 program hari ini semarak kempen PRN

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan ‘turun’ berkempen di Negeri Sembilan hari ini dengan menghadiri empat program anjuran Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Pengerusi PH itu menyeru orang ramai untuk sama-sama menyemarakkan gelombang Harapan dengan berkunjung ke program tersebut.

Berdasarkan jadual dikongsikan dalam hantaran itu, Amwar dijangka akan memulakan kunjungan pada jam 4 petang dengan menyantuni rakyat melalui program Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan.

Anwar yang juga merupakan Presiden PKR itu kemudian akan menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (KOMBES), Paroi kira-kira pada pukul 5 petang.

Beliau juga dijadualkan untuk menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang diadakan di Taman Sri Penaga pada sekitar jam 8 malam bagi menyemarakkan lagi kempen di kawasan itu.

Kunjungan tersebut dijangkakan berakhir di Pusat Bandar Senawang dengan beliau dijadualkan untuk turut menjayakan program Ceramah Perdana Pakatan Harapan Dun Paroi pada pukul 9.35 malam.

Sekadar info, gabungan PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini dengan mempertaruhkan 16 calon PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan daripada Amanah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pula diadakan pada 1 Ogos.

Baca juga: Kerajaan salur RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi, Anwar imbau jasa tokoh ulama