Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan kononnya terdapat kempen khas yang mewajibkan orang ramai menukar atau mengemas kini alamat pada MyKad.
Menerusi satu hantaran di media sosial, JPN menjelaskan bahawa tiada sebarang kempen sedang dijalankan berhubung perkara itu.
Sebaliknya tanggungjawab mengemas kini maklumat peribadi sememangnya telah diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.
Menurut JPN, kewajipan itu termaktub di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990), namun pengemaskinian hanya dibuat apabila pemilik MyKad hadir mengemukakan permohonan.
“Tiada sebarang kempen tukar alamat MyKad.
“Undang-undang berkaitan kewajipan mengemas kini maklumat sememangnya wujud di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990).
“Namun, JPN menekankan bahawa tanggungjawab memastikan maklumat pada MyKad sentiasa tepat dan terkini adalah terletak pada setiap pemilik MyKad,” menurut jabatan itu.
Sehubungan itu, JPN menggalakkan orang ramai supaya mengambil inisiatif mengemas kini maklumat apabila berlaku sebarang perubahan bagi memastikan rekod yang disimpan sentiasa tepat.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi JPN dan tidak membuat tafsiran sendiri berdasarkan perkongsian yang tidak lengkap atau di luar konteks.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa sebarang pertanyaan berkaitan peruntukan undang-undang atau urusan perkhidmatan JPN boleh dirujuk terus kepada saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: PM Anwar turun Negeri Sembilan, hadiri 4 program hari ini semarak kempen PRN