Kerajaan akan mula merangka Belanjawan 2027 pada bulan depan dan seterusnya dibentangkan pada awal Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belanjawan itu akan terus berpandukan kepada prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada pemerkasaan kehidupan rakyat dan bukan setakat diukur berdasarkan petunjuk ekonomi yang kukuh.
“Ekonomi adalah satu kaedah dan bukan setakat matlamat akhir. Tujuannya bukan sekadar menghasilkan angka yang lebih tinggi, perbelanjaan lebih besar atau tumpuan pengumpulan kekayaan sebaliknya bagi membolehkan rakyat hidup lebih bermaruah, selamat, ada matlamat serta harapan.
“Ini bermakna melakukan penilaian sebelum setiap keputusan besar, sama ada pertumbuhan meningkatkan atau mengehadkan peluang, adakah ini mengukuhkan lagi keluarga dan komuniti atau sebaliknya menjadikan mereka lebih terdedah dan jika manusia itu dilayan sebagai rakan dalam pembangunan atau hanya instrumen pengeluaran,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Human Economic Global Discourse (HEGD) 2026 atau Wacana Ekonomi Manusia Global di sini, hari ini.
— BERNAMA
Baca juga: Kerajaan Naikkan Kadar Sara Dalam Tempoh Terdekat – Anwar