Kepimpinan Aminuddin Harun rungkai isu rumah mampu milik, hak milik tanah – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya merungkai pelbagai permasalahan legasi yang sekian lama membelenggu rakyat di wilayah tersebut termasuk perumahan mampu milik serta isu hak milik tanah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Negeri Sembilan juga ditadbir dengan bersih, amanah dan cemerlang di bawah kepimpinan Aminuddin disokong oleh kerjasama kukuh yang terjalin bersama Kerajaan Persekutuan.

Prestasi ini kemudian diterjemahkan menerusi pencapaian rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan selain peningkatan hasil serta usaha penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas dilakukan untuk kesejahteraan rakyat.

Sehubungan dengan itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berharap agar rakyat dapat mengekalkan pentadbiran gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menilai prestasi dan khidmat mereka sebelum ini.

Difahamkan, Anwar merangkap Presiden PKR itu ‘turun’ ke Negeri Sembilan, semalam untuk merancakkan kempen calon PH termasuk Aminuddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan Nor Azman Mohamad (DUN Sikamat).

“Kerajaan Negeri pimpinan saudara Aminuddin turut berjaya merungkai pelbagai permasalahan legasi yang sekian lama membelenggu rakyat, termasuk perumahan mampu milik serta isu hak milik tanah.

“Justeru, saya menyeru warga DUN Linggi, Sikamat dan seluruh Negeri Sembilan agar menilai setiap calon dalam pilihan raya negeri ini berdasarkan rekod, prestasi dan khidmat yang telah dibuktikan.

Insya-Allah, pasukan HARAPAN akan meneruskan kecemerlangan Negeri Sembilan serta mempertahankan pentadbiran yang bersih, amanah dan berintegriti demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya menerusi perkongsian di platform Facebook.

Sekadar info, Aminuddin Harun berdepan saingan tiga penjuru untuk memenangi kerusi DUN Linggi termasuk calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandangnya, Datuk Mohd Faizal Ramli dan wakil daripada Bersatu, Datuk Zamri Md Said.

Manakala DUN Sikamat pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru an­tara calon PH yang juga dikenali sebagai Ustaz Azman, Datuk Razali Abu Samah (Perikatan Nasional) dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu).

Baca juga: Usaha kepimpinan negeri Aminuddin Harun tangani masalah banjir dihargai – PM Anwar