Kunjungan hormat diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Presiden The Genron NPO, Yasushi Kudo bukan sahaja dijadikan sebagai medan perbincangan malah turut mempereratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut dilakukan untuk meneruskan perbincangan mengenai usaha memperkukuhkan Asia Leaders Roundtable sebagai wadah dialog strategik dalam mendepani pelbagai cabaran serantau dan global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu turut mengambil kesempatan tersebut untuk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas layanan mesra sepanjang lawatan rasmi beliau ke negara tersebut pada Jun lalu.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia juga amat menghargai Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Jepun yang kekal sebagai rakan strategik dan ekonomi terpenting untuk negara ini.
“Saya juga menghargai jemputan untuk menyampaikan mesej video sempena Tokyo Conference 2026 serta mengucapkan terima kasih kepada Yasushi Kudo atas undangan menghadiri Tokyo Conference 2027.
“Semoga hubungan erat Malaysia-Jepun serta kerjasama bersama The Genron NPO terus diperkukuh demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama,” kata pemimpin nombor satu negara itu dalam perkongsian tersebut.
Sekadar info, Genron NPO adalah sebuah badan pemikir bebas yang berpangkalan di Jepun dengan matlamat untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan di Asia Timur Laut serta mencari jalan penyelesaian membabitkan isu-isu global.
Baca juga: IMO 2026: Malaysia Lakar Sejarah, Berada Dalam Kelompok 20 Terbaik Dunia