“Hadiah apa dalam beg tu?” Soalan ringkas seorang cikgu bertukar menjadi detik yang mencuit hati apabila muridnya membuka zip beg sekolah dan mengeluarkan sesuatu yang langsung tidak dijangka iaitu sebiji durian.
Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna Threads @nrslyaaa itu memaparkan mesej daripada cikgu terbabit yang memaklumkan anaknya datang memeluk sebelum menunjukkan durian yang dibawa di dalam beg.
Dalam hantaran susulan, ibu kepada kanak-kanak itu menjelaskan anaknya memang sangat menyayangi cikgu berkenaan yang akan berpindah ke sekolah lain.
Katanya, sebelum ini anaknya kurang berminat ke sekolah kerana sering tidak sihat dan menganggap cikgu tersebut garang.
Bagaimanapun, selepas dipujuk oleh cikgu itu, kanak-kanak tersebut semakin bersemangat untuk hadir ke sekolah sehingga sanggup membawa hadiah istimewa pada hari terakhir cikgu berkenaan.
Lebih menyentuh hati, ibu itu mendedahkan anaknya sebenarnya tidak menggemari durian malah tidak tahan dengan baunya.
“Mama dah suruh tinggal dekat rumah, dia tetap nak bawa walaupun dia tak suka durian dan bau durian. Mungkin dia nak cikgu tu ingat dekat dia,” tulisnya.
Ruangan komen pula dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang terhibur dengan tindakan spontan kanak-kanak itu.
Seorang pengguna berpendapat kanak-kanak tersebut mempunyai sifat penyayang dan bijak membaca situasi kerana menyedari itu merupakan hari terakhir cikgu kesayangannya di sekolah.
“Common sense tinggi, penyayang ni dia. Mesti dia ingat hari terakhir cikgu dia. Dia sayang cikgu dia.
“Dia tahu durian tu sedap, jadi dia bagi benda paling best untuk cikgu. Caring awak ni, dik,” komen Hannah.
“Dulu kerja tadika part time pun penah kena. Senyum simpul dia bagi hadiah. Pastu tak bawa semua buku sebab durian dah penuh bag,” komen Alis.
Baca juga: “Ini tempat parking saya” – Wanita kena ‘sound’ lepas parkir di petak kosong