“Dah setahun tak beli beras…” – Luahan wanita ini buat ramai hargai bantuan SARA

Oleh MALAYSIADATELINE

Apa yang bagi sesetengah orang hanyalah bantuan bulanan, bagi seorang pengguna Threads pula ia membawa makna lebih besar.

Pengguna @adan_nina89 mendakwa dia tidak perlu lagi menggunakan wang sendiri untuk membeli beras sejak hampir setahun lalu hasil manfaat bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Aku dah dekat setahun tak beli beras. Ambil beras semua pakai SARA,” tulisnya ringkas.

Perkongsian itu menarik perhatian ramai, dengan rata-rata pengguna media sosial berkongsi pengalaman masing-masing memanfaatkan bantuan berkenaan untuk membeli barangan keperluan harian.

Seorang pengguna, @ezztika, berkongsi pengalaman ketika berada di sebuah klinik kesihatan apabila terdengar seorang jururawat menasihati seorang pesakit yang menghidap masalah gula dalam darah supaya beralih kepada beras perang atau beras basmathi.

Menurutnya, pesakit itu pada awalnya bimbang kerana menganggap harga beras tersebut lebih mahal.

Bagaimanapun, jururawat berkenaan memaklumkan bahawa beras perang dan beras basmathi termasuk dalam senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit SARA di pasar raya yang mengambil bahagian.

“Makcik tu seronok dengar. Ramai kata SARA tak membantu. Bagi saya, ia memang banyak membantu mereka yang memerlukan. Tambahan pula bantuan itu diterima setiap bulan. Besar nilainya bagi orang yang bersyukur,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @quite_ya_eeokayjer, berkata bantuan SARA banyak membantunya menjimatkan perbelanjaan bulanan, khususnya bagi keperluan anak.

Katanya, dia menggunakan kredit SARA untuk membeli lampin pakai buang anak sulungnya sejak saiz M sehingga XL.

“Alhamdulillah, dekat situ dah jimat kos beli tiga pek lampin setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, @arisya_hamiza pula memaklumkan dia menggunakan kredit SARA bagi membeli barangan yang menjadi keperluan bulanan seperti beras, sabun dan sardin.

“Barang yang boleh guna sebulan saya guna SARA. Beras, sabun, sardin Cap Ayam. Banyak juga benda boleh beli guna SARA,” katanya.

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas melalui kredit yang boleh digunakan di premis terpilih di seluruh negara.

Baca juga: PM Anwar sampai agenda pemerkasaan masyarakat India, jamin tiada kelompok tercirir