Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 124 mangsa daripada 37 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 123 mangsa daripada 36 keluarga, malam tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarajat (JKM) memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Melaka Tengah dan Jasin.
Menurut portal itu, sebanyak 55 mangsa daripada 17 keluarga di daerah Melaka Tengah ditempatkan di PPS Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor.
Di daerah Jasin pula, sebanyak 44 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat manakala 25 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Bukit Tembakau.
Menurut portal itu, mangsa terdiri daripada 88 dewasa, kanak-kanak (34 orang) dan bayi (dua orang).
Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka memaklumkan terdapat 17 kawasan di daerah Melaka Tengah dinaiki air antaranya Kampung Lereh, Peringgit, Kampung Bachang, Tengkera, Bukit Rambai dan Tanjung Kling.
Di Jasin pula, terdapat tiga kawasan terjejas iaitu Kampung Pulai, Kampung Serkam dan Kampung Bukit Tembakau.
Kawasan terjejas dinaiki air susulan hujan lebat dalam tempoh lama sejak malam Jumaat hingga Sabtu tengah hari. — BERNAMA.
Baca juga: “Pertanian bukan lagi cangkul dan traktor” – Mohamad Sabu ajak anak muda kuasai AI