Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) terus memperkukuh transformasi pentadbiran tanah negara menerusi peluasan Sistem e-Tanah, penambahbaikan pengurusan hak milik strata serta pemerkasaan perundangan berkaitan tanah bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sambutan Hari Tanah Negara (HTN) 2026 yang memasuki tahun ke-10 penganjurannya dan bertemakan “Tanah Kita, Tanggungjawab Kita”, membawa mesej mengenai pentingnya jaminan hak pemilikan tanah, sistem penyampaian yang cekap serta tadbir urus berintegriti.
Beliau berkata pendekatan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan reformasi institusi, transformasi digital sektor awam, peningkatan produktiviti serta pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan berteraskan rakyat.
“Pentadbiran tanah yang moden dan responsif merupakan antara pemacu penting dalam menjayakan agenda tersebut kerana hampir setiap sektor pembangunan negara, sama ada perumahan, pelaburan, infrastruktur, pertanian mahupun perindustrian, bergantung kepada sistem pengurusan tanah yang cekap dan diyakini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Mohd Fauzi berkata agenda pendigitalan kekal menjadi keutamaan JKPTG menerusi peluasan Sistem e-Tanah yang membolehkan urusan pendaftaran hak milik, transaksi tanah, carian rasmi dan pelbagai permohonan dilaksanakan dengan lebih pantas, telus serta cekap.
Beliau berkata Sistem e-Tanah kini dilaksanakan di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan, dengan Melaka menjadi negeri terbaharu menggunakan sistem berkenaan selepas Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Perak dan Terengganu.
Beberapa negeri lain termasuk Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan pula sedang membangunkan sistem itu sebagai usaha mewujudkan ekosistem pentadbiran tanah yang lebih moden dan bersepadu.
Pada masa sama, JKPTG turut memperkukuh keselamatan siber menerusi pelaksanaan mekanisme pengesahan identiti digital dan penambahbaikan perlindungan data bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem digital kerajaan terus terpelihara.
Mohd Fauzi berkata langkah itu membolehkan perkongsian data dilaksanakan dengan lebih cekap, mengurangkan kebergantungan kepada proses manual serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Dalam menangani cabaran pemilikan hartanah strata, beliau berkata JKPTG terus mempergiat usaha menyelesaikan isu tunggakan hak milik strata menerusi Tabung Khas Hakmilik Strata dan pengenalan Skim Strata Khas MADANI.
Beliau berkata setakat tahun ini, sebanyak 27 skim melibatkan 3,431 petak di lapan negeri menerima manfaat menerusi dana berjumlah RM5.4 juta yang diluluskan.
Daripada jumlah itu, hak milik strata bagi tujuh skim membabitkan 1,475 petak berjaya didaftarkan, manakala enam skim lagi dijangka didaftarkan menjelang akhir tahun ini.
Mengenai pengurusan pusaka, Mohd Fauzi berkata JKPTG terus memperluas Program Kesedaran Awam (Turun Padang) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai tatacara pengurusan pusaka, sekali gus membantu mengurangkan isu harta beku.
Beliau berkata setakat Mei lepas, sebanyak 27 daripada 36 program yang disasarkan tahun ini telah dilaksanakan, manakala JKPTG telah menyelesaikan 30,282 permohonan pusaka semasa dan 18,632 kes tertunggak, bersamaan dengan 57 peratus daripada sasaran keseluruhan tahun ini.
Selain itu, JKPTG meneruskan agenda reformasi perundangan menerusi cadangan pindaan terhadap Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata 1985 dan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memastikan undang-undang berkaitan tanah kekal relevan dengan keperluan semasa.
Mohd Fauzi berkata penguatkuasaan undang-undang tanah turut diperkasakan bagi menangani isu pencerobohan, selain memastikan hak pemilik tanah terus dilindungi.
HTN yang disambut pada 28 Julai setiap tahun merupakan penghargaan kepada warga pentadbiran tanah di peringkat Persekutuan dan negeri atas komitmen mereka dalam memastikan urusan berkaitan tanah dilaksanakan secara profesional, telus serta berintegriti.
— BERNAMA
Baca juga: Malaysia Meterai MOU Dengan Dua Negara Laksana Perolehan Aset Secara G2G – Mohamed Khaled