Pelakon Fattah Amin tampil membalas dakwaan yang dimuat naik oleh sebuah akaun Threads selepas mendakwa naratif serta tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sudah melampaui batas.
Menerusi kenyataan di akaun Threads miliknya, Fattah berkata dia sebelum ini memilih untuk tidak melayan pelbagai dakwaan yang disifatkan sebagai remeh dan berunsur fitnah, namun merasakan sudah tiba masanya untuk bersuara.
“Saya sebenarnya tak nak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini telah awak cipta.
“Tapi rasanya naratif yang digunakan, fitnah yang di ada-adakan ini dah semakin melampau,” kongsinya di Threads.
Menurutnya, antara dakwaan yang dibangkitkan ialah berkaitan yuran persekolahan anaknya yang didakwa tertunggak.
Ini sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana maklumat yang bersifat peribadi itu boleh diketahui oleh individu terbabit.
“Pertama, tentang yuran yang tertangguh, sila semak dengan pihak sekolah Fatima sekarang tentang yuran tersebut.
“Sebab nampak gaya awak seperti ada akses tentang semua perkara peribadi yang melibatkan saya dan bekas isteri.
“Jadi bagaimana info dalaman seperti ini diketahui oleh awak? Bukankah ia adalah P&C di antara pihak sekolah dan ibu bapa?” katanya.
Dalam hantaran sama, Fattah turut mendedahkan bahawa dia telah lama membuat laporan terhadap akaun berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun mendakwa sehingga kini masih tiada tindakan diambil.
Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya menggunakan fungsi laporan (report) di platform media sosial bagi membendung kewujudan akaun yang didakwa menyebarkan fitnah.
“Mungkin sudah sampai masanya kita gunakan butang report ini beramai-ramai supaya akaun seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam kalangan masyarakat kita.
“Sebab ia boleh memecah-belahkan keharmonian rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan bahasa yang sopan santun,” katanya.
Fattah turut mengingatkan bahawa perbuatan menyebarkan fitnah adalah dilarang dalam Islam dengan memetik Surah An-Nur ayat 19 yang menyebut mengenai balasan terhadap mereka yang gemar menyebarkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman.
Terdahulu, sebuah akaun Threads dikenali sebagai ‘musangberjanggutt’ memuat naik beberapa hantaran yang mengkritik Fattah.
Ia termasuk mendakwa pelakon itu mempunyai tunggakan yuran persekolahan anak serta mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur sindiran terhadap kehidupan peribadinya.