Kerjasama penganjuran F1 mencerminkan hubungan erat Malaysia-Bahrain – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemilihan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix tahun ini mencerminkan persahabatan yang berterusan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah turut membuktikan kesediaan dan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.

Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia sudah bersedia dari segi infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi serta layanan hospitaliti untuk menerima kehadiran pasukan dan peminat dari seluruh dunia.

“Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa), pasukan-pasukan yang bertanding serta para peminat dari seluruh dunia ke Sepang.

“Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra kami, di samping terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara melalui acara istimewa ini,” katanya menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook.

Difahamkan, Anwar juga berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.

Beliau mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Baginda, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun ini.” Ujarnya.

Terdahulu, konflik di Iran memaksa F1 untuk menilai semula baki jadual musim ini kerana kalendar 2026 pada asalnya mengandungi 24 perlumbaan, dengan empat daripadanya berlangsung di Asia Barat.

Selain Bahrain dan Arab Saudi, musim F1 juga dijadual berakhir dengan perlumbaan berganda di Qatar dan Abu Dhabi namun dua daripada empat perlumbaan di Asia Barat perlu digantikan sekiranya semuanya dibatalkan akibat perang.

Hal ini berikutan perjanjian komersial Formula 1 dengan 11 pasukan bertanding serta penyiar televisyen di seluruh dunia menetapkan kalendar musim tidak boleh mempunyai kurang daripada 22 perlumbaan.

Formula 1 menerusi pengumuman rasminya kemudian mengesahkan perlumbaan asal di Sakhir yang sebelum ini terbatal akibat konflik Asia Barat akan dianjurkan di negara ini sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.

Pengumuman itu mendapat sambutan hangat dari peminat dan pasukan ternama Formula 1 termasuk Ferrari dan Mercedes yang berkongsi keterujaan di platform media sosial mengenai kembalinya perlumbaan Formula 1 ke Sepang selepas sembilan tahun.

Baca juga: Runsing duit belanja sehari RM500, posting ‘humble brag’ wanita ini dapat jawapan sinis warganet