Jika dahulu pengguna sering berdepan kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket, kini barangan keperluan itu didakwa lebih mudah diperoleh di pasaran.
Perubahan itu dikaitkan dengan pelaksanaan aplikasi eCOSS yang diperkenalkan kerajaan bagi memperkukuh pemantauan rantaian bekalan serta memastikan pengagihan subsidi bersasar dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai Redzwan Manan berpendapat masalah sebenar bukan berpunca daripada kekurangan stok, sebaliknya disebabkan ketidakjujuran dalam pelaksanaan sistem subsidi sebelum ini.
Menurutnya, apabila kawalan terhadap subsidi diperketatkan, lebih ramai rakyat kini dapat menikmati manfaat daripada bantuan yang disediakan kerajaan.
“Subsidi bersasar, masalah selesai. Bukan sebab tak cukup stok, tapi ketidakjujuran pelaksanaan sebelum ini. Baik peniaga, baik kerajaan.
“Bila buat kawalan semua rakyat dapat merasa. Takkan tak ada satu kebaikan untuk diri dan keluarga?” katanya.
Hantaran itu turut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang berkongsi pandangan mengenai kesan pelaksanaan subsidi bersasar.
Seorang lagi pengguna media sosial turut berpandangan pelaksanaan subsidi bersasar membantu mengatasi ketirisan yang didakwa berlaku sebelum ini.
“Yang merentan ni semua tauke kilang yang selama ini makan duit subsidi ayam, beras, telur, gula, minyak dan lain-lain. Dulu sedap claim subsidi lebih daripada pengeluaran.
“Sekarang nak dapat duit kena hasilkan produk betul-betul. Hasilnya, rakyat dapat tengok limpahan barang keperluan.
“Datanglah apa perayaan sekalipun, barang keperluan tak pernah putus. Harga tetap murah walaupun tiada subsidi,” ujarnya di ruangan komen.
Baca juga: F1 kembali ke Sepang lepas 9 tahun, ini manfaat kepada Malaysia yang ramai tak tahu