Penyanyi dan pengasas Bizmilla Wedding Hall, Mila Jirin mengakui syarikatnya berdepan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Namun penyanyi berkenaan menegaskan isu itu sedang diselesaikan secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan lapor Kosmo! Online.
Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin berkata, dakwaan yang tular di media sosial mengenai perkara itu tidak sepenuhnya tepat kerana terdapat maklumat yang didakwa telah ditokok tambah sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya dan syarikat.
Menurut juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu, sebahagian daripada isu berkenaan telah pun diselesaikan, manakala baki tunggakan pula sedang diuruskan secara berjadual.
“Dakwaan itu ada yang betul dan ada yang tidak. Ada perkara yang ditambah, malah sebenarnya sudah pun kami selesaikan. Cerita di Threads itu pun kita tidak tahu bila berlaku atau siapa yang bercakap.
“Paling penting, semua pekerja dilindungi akta, majikan tidak. Apa yang kita boleh uruskan, kita uruskan. Sekarang kami sedang membuat pembayaran secara berjadual,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Mila berkata, keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara, termasuk pembayaran gaji serta faedah lain yang menjadi hak mereka.
“Di Bizmilla, kami mengutamakan gaji pekerja dan semua kelebihan yang mereka dapat. Segala yang tertunggak juga kami akan uruskan,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai dakwaan yang tersebar di media sosial, Mila memilih untuk tidak melayan setiap tuduhan kerana enggan memberi ruang kepada spekulasi terus berpanjangan.
Katanya, lebih baik tenaga dan masa ditumpukan kepada usaha menyelesaikan isu yang dihadapi berbanding membalas setiap dakwaan yang belum tentu berasas.
“Saya memang bukan majikan dari syurga, tetapi saya hargai usaha pekerja saya. Daripada saya runsing tentang masalah, lebih baik saya fikir cara untuk menyelesaikannya.
“Bagi saya, ada betul dan salahnya. Ada potensi orang menambah-nambah cerita. Kalau kita menjawab, kita sebenarnya memberi ruang kepada perkara itu menjadi lebih besar,” katanya.
Pada masa sama, Mila tidak menolak kemungkinan individu yang membuat dakwaan mempunyai sebab tersendiri, termasuk mungkin tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat.
Bagaimanapun, Mila menegaskan setiap keputusan yang diambil terhadap kakitangan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP), sambil menambah fokus utamanya adalah memastikan operasi syarikat berjalan lancar dan kebajikan pekerja terus terjamin.
“Kalau saya bukan majikan yang baik, tidak mungkin pasukan saya mampu menguruskan semua majlis, termasuk hari pelancaran single baharu saya ini dengan begitu baik,” katanya.
Baca juga: Runsing duit belanja sehari RM500, posting ‘humble brag’ wanita ini dapat jawapan sinis warganet